Selasa, 11 Jun 2013

Sekadar air suam dalam botol susu anak ...



Oleh AZAMIN AMIN

Ramai bertanya bagaimana saya berdepan kekalahan ini. Soalan ini awalnya sukar dijawab, lantaran saya bukan pakar motivasi, jauh sekali ahli psikologi.

Terus-terang, saya masih mempunyai emosi dan punya kelemahan diri. Remuk, luluh dan kecewa adalah sentapan pedih yang menyambar perasaan tatkala mendengar pengumuman Dato' Yusuf Husin, Pengarah Pilihan Raya PAS Kedah, tengah malam itu.

Kurang lebih 48 jam, saya perlahan-lahan memujuk rasa. Rasa itu dihidangkan semula oleh Tuhan, dengan pengajaran yang diberikan. Nostalgia lama terungkap kembali.Saya muhasabah, catit kekurangan diri dan kutip semula impian yang berkecai bertaburan.

Sebenarnya, kekalahan dan kegagalan yang dilalui ini, bukanlah yang pertama kali. Rupanya telah lama menjadi 'rakan karib' kehidupan saya, yang ada kalanya sukar dipisahkan. Ada masa datang dan pergi, silih berganti. Namun di setiapnya, Tuhan sentiasa berada di sisi, mendengar rintihan. 

Benar bagai dikata ulama dan ahli agama. Banyak kekalahan, kekecewaan dan kegagalan yang ditempuhi, namun tidak secubit pun Allah meninggalkan hamba-Nya terkapar sendiri. Namakan apa juga babak cerita, bermula dengan cinta, kewangan, keluarga dan kerjaya, semuanya pernah diuji Tuhan. Saya sendiri tanpa kecuali.

Pedih dan pilu, sambaran menyentap perasaan tatkala saya putus cinta. Itu pengalaman pahit yang pertama. Hanya mengadu pada Tuhan yang satu dan setahun kemudian, Tuhan kabulkan permintaan. Anugerah terbaik dari-Nya, menemukan isteri yang juga ibu kepada cahaya mata saya yang kini meningkat dewasa.

Kemudian datang, cabaran  yang tak kunjung padam. Hampir menggugat jiwa, apabila saya menghadapi tujuh kali kemalangan yang hampir meragut nyawa. Putus asa dan mula mempersoalkan malang yang menimpa. Perlahan-lahan saya diajar untuk bersangka baik kepada Allah. Hikmahnya, pengalaman ini, mengetuk hati untuk mendekatkan diri pada Tuhan. Majalah NUR terbitan Julai 2010, pernah merakam kisah pengajaran dan pengalaman nan secebis ini.

Ujian lain menyusul lagi. Berada di kedudukan tertinggi sebagai Pengurus Operasi sebuah syarikat, kemudian merudum jatuh rapat, saya hampir merempat. Saya bertatih semula di lain tempat. Bermula dari bawah, menyapu, mengemas, mencuci tandas dan bergilir menjadi pengawal keselamatan antara pengalaman 'manis' yang saya dapat. Saya mengerti apa itu hinaan, cacian dan umpatan. Semuanya saya hadam dan telan untuk sesuap nasi, buat isteri dan anak-anak yang masih kecil lagi.

Dalam diduga, Allah jua yang 'menyelamatkan' saya suatu malam, 11 tahun lalu ketika benar-benar kesempitan wang. Malam itu, susu tepung anak sulung habis. Berdebar jantung lantaran, hanya kepingan syiling saja yang tinggal. Saya dan isteri juga, tidak menjamah walau secebis makanan pada hari itu.

Tiba saat yang cukup perit dan payah untuk dihadapi tatkala, si comel merapati ibunya, minta dibuatkan susu. Ketika itu isteri sudah tidak sanggup melihat keadaan itu.

Saya dengan hati yang luluh, lantas mencapai botol susu lalu menuangkan air suam ke dalamnya. Anak sulung saya, berkerut kehairanan kerana botol susu itu tidak berwarna, tetapi jernih sama seperti air mata ayah dan ibunya.

Namun tanpa banyak rengekan, dia capai lalu menghisap botol tersebut. Beberapa saat kemudian, dia berhenti lantas memandang. Bimbang benar, jika dia menjerit dan menangis malam itu kerana tidak dapat meminum susu.

Alangkah aibnya saya, jika jiran semua tahu letak duduknya keadaan keluarga saya, sehingga anak menjerit kelaparan. Isteri juga panik, dan pucat kesi wajahnya menantikan reaksi si sulung seterusnya.

Saya bersabar menunggu detik itu.Sambil memegang botol susu, anak sulung saya merenung wajah kami berdua lantas bersuara.

"Mmm ...sedap," lalu mengukirkan senyuman paling manis yang sudah cukup 'mencarik-carikkan' nurani saya. Sebak terasa di dada. Isteri sudah tidak dapat menahan sedih, menangis semahu-mahunya. Si sulung kembali menyusu sehinggalah terlena. Detik pilu itu, Allah selamatkan kami berdua.

Malam hari, menjadi waktu mencurah rasa dan air mata. Tuhan mendengar dan tidak menghampakan saya. Peluang Allah bukakan di tempat lain dan sejak itu saya masih di sini, hampir 9 tahun, menulis sesuatu untuk dikongsi.

Lamunan saya menginjak subuh tiba-tiba dikejutkan panggilan seorang lelaki, Ahmad Yatim  berusia hampir 70-an, dari Masjid Tanah, Melaka cuba mengubat duka.

"Saya masuk PAS ketika berusia 18 tahun, dan masih berjuang ... Azamin jangan kecewa ya," tuturnya ringkas. Tiga tahun di Kedah, inilah kali pertama dia menghubungi saya. Kemudian SMS pula bertali arus, panggilan yang tak putus-putus serta komentar dari media alam maya, dari kenalan dan saudara mara, agar tidak patah semangat.

Terkenang semula bait-bait kata Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika bertemu seluruh jentera dan kepimpinan PAS tertinggi dan akar umbi di Kompleks PAS Kota Sarang Semut, beberapa hari sudah.

Katanya, kemenangan sebenar ialah perjuangan yang berterusan sehingga akhirat dan kekalahan yang sebetulnya, bagi yang lari, putus asa dan kecundang di tengah jalan.

"Selain kemenangan, Allah juga mengajar kita menghadapi erti kekalahan seperti yang terakam dalam kisah perang Uhud ... malah Rasulullah juga luka dan patah giginya."kata Ustaz Hadi.

Begitu juga dengan kesabaran, tatkala Nabi Musa dan Nabi Harun memohon kepada Tuhan agar menjatuhkan Firaun, yang cukup berkuasa, kaya raya, memiliki bala tentera dan segalanya, Tuhan tidak menunaikannya serta-merta.

"Allah makbulkan doa mereka, selepas 40 tahun kemudian, dan Firaun yang zalim itu ditenggelamkan.

"Tempoh perjuangan memang panjang, ada sempat merasainya dan juga yang tidak berpeluang mengecapi kemenangan. Yang utama ialah teruskan perjuangan untuk agama Allah," titip Ustaz Hadi, membakar hati pejuang di bumi Jelapang Padi.

Ya, kekalahan bukanlah penamat, tetapi tamat seandainya kita menyerah kalah. Merenung  sempadan kaca dan pintu yang berkunci, ayahanda Ustaz Azizan Razak sudah pun membuka mata.

Tiba-tiba api semangat perlahan-perlahan naik menjulang tinggi. Tanpa disedari, sebulan berlalu, saya nan 'kecil' dan para pejuang lainnya sudah berada semula di medan tempur, kembali menyusuri ranjau dan duri.

Tiada ulasan: