Ahad, 9 Jun 2013

Rumah Saifuddin dipecah masuk

ZUMURNI HAMZAH

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
 
MACHANG - Dua penjenayah terpaksa berputih mata apabila ditahan tidak sampai 48 jam selepas memecah masuk rumah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail di Kampung Air Hijau, dekat sini, Khamis lalu.

Turut ditemui bersama mangsa, pelbagai barangan milik Saifuddin termasuk komputer riba, jam tangan, telefon bimbit dan kad bank.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan, Che Malek Bedot berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 6.30 petang pada 6 Jun daripada pengadu yang juga merupakan kakak ipar kepada bekas Ahli Parlimen Machang itu.

Katanya, pihaknya membuat operasi tangkapan dengan segera dan berjaya menahan dua suspek pada jam 1.05 pagi semalam.

" Ketika kejadian, mangsa dan keluarga tiada di rumah dan kejadian tersebut disedari agak lewat. Suspek dipercayai pecah masuk rumah tersebut pada waktu malam. Hasil tindakan segera, dua lelaki Melayu berusia 23 dan 27 tahun yang juga penagih dadah ditahan di rumah masing-masing serta pihak polis berjaya menemui beberapa barangan milik mangsa .

"Pecah rumah ini dipercayai melibatkan dilakukan dalam kumpulan dan tiga lagi masih bebas namun identiti mereka telah dikenal pasti. Kerugian pada kejadian tersebut dianggarkan bernilai RM25,350 yang mana melibatkan pelbagai barangan dan juga wang tunai, mata wang asing," katanya kepada media di sini, hari ini.

Hadir sama pada sidang media tersebut, Ketua Bahagian Pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Machang, Asisten Superintendan Loo Lian Lai dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Asisten Superintendan Kama Azural Mohamed.

Che Malek berkata, kedua-dua mangsa mempunyai rekod jenayah lampau (pecah rumah) dan penyalahgunaan dadah dan akan ditahan reman sehingga 11 Jun ini bagi siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek yang merupakan penduduk tempatan itu dipercayai bekerja sebagai penoreh getah manakala seorang lagi tidak bekerja.

Sinar Harian difahamkan, seorang daripada suspek baru sahaja keluar penjara pada Disember lalu atas kesalahan yang sama.

Tiada ulasan: