PRK Dun Kuala Besut

SHAH ALAM - Penganalisis berpendapat, Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dun Kuala Besut merupakan platform terbaik untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membetulkan segala 'kesilapan' yang berlaku dalam PRU13 lalu.

Pensyarah Geopolitik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Fuad Mohd Jali berkata, semua rungutan dan permasalahan yang timbul pada PRU13 lalu perlu diatasi SPR melalui penambahbaikkan  pada PRK kali ini.

"Inilah masa yang sesuai bagi SPR membuktikan ketelusan mereka.

"Aspek pertama yang harus diambil kira mestilah isu ketahanan dakwat kekal.

"Biarlah dakwat itu kekal seperti dakwaan sebelum ini, iaitu kekal selama lima sehingga tujuh hari," katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian Online.

PRK bagi kawasan Dun kawasan Kuala Besut di Terengganu akan diadakan semula berikutan kematian penyandangnya, Dr A.Rahman Mokhtar akibat kanser paru-paru semalam.

Sehubungan itu, PRK pertama bagi kawasan tersebut bakal diadakan selepas PRU13 diadakan pada 5 Mei lepas.
 
Kawasan itu akan menjadi tumpuan sekiranya PRK diadakan memandangkan BN membentuk Kerajaan Negeri Terengganu dengan majoriti mudah apabila menguasai 17 kerusi berbanding 14 kerusi dimenangi Pas manakala satu lagi oleh PKR.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai jangkaan parti mana yang mampu meraih kemenangan, Dr Fuad yakin BN masih boleh memenangi PRK kali ini.

Bagaimanapun katanya, kemenangan itu hanya boleh diraih jika calon yang dipilih mempunyai kriteria 'winable candidate'.

"Faktor calon saya lihat merupakan faktor utama bagi BN untuk kekalkan kuasa pada PRK kali ini.

"Calon tersebut mestilah setanding dengan wakil rakyat sebelum ini dan mestilah seorang yang dikenali pada peringkat akar umbi serta mempunyai imej yang bersih," katanya.

Sementara itu, menurut Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)  Profesor Madya Dr Samsu Adabi Mamat, kemenangan PRK kali ini sukar diramal kerana tabiat politik masyarakat di Terengganu berbeza dengan masyarakat Pantai Barat.

"Tabiat mereka sukar diramal, pola pengundian mereka boleh berubah bila-bila masa sahaja.

"Lihatlah keputusan PRU13, kebanyakan penganalisis politik menjangkakan Pas boleh memenangi pilihan raya   di Terengganu tetapi sebaliknya berlaku," katanya.

Beliau juga mengjangkakan persaingan sengit akan berlaku dalam PRK kali ini kerana ini merupakan 'ujian' pertama bagi BN dan PR melihat penerimaan mereka selepas PRU13 yang lalu.

"Saya jangkakan tokoh-tokoh besar politik tanah air akan turun berkempen.

"Sama ada daripada pihak BN dan PR, jadi PRK ini akan menjadi tumpuan masyarakat, dua-dua pihak inginkan kemenangan ini.

"Ianya menjadi satu pentas yang akan menentukan 'survival' BN dan  PR," katanya.

Manakala ketika ditanya mengenai parti mana yang akan memenangi PRK kali ini beliau menjawab kelebihan masih memihak kepada BN.

"Dengan majoriti melebihi 2,434 pada PRU13 yang lalu, saya fikir agak sukar untuk PR tingkatkan jumlah undi mereka.

"Kuala Besut pula kubu kuat Umno, jadi PR perlu berusaha lebih gigih jika mahu memenangi PRK ini," katanya.

Menurut Pensyarah Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Ahmad Attory Husain, adalah sukar untuk PR mengalahkan BN pada PRK ini.

"Bagi saya untuk PR menang agak tipis, kerana tiada isu yang boleh menambat hati pengundi di situ.

" Saya lihat segalanya sudah disediakan oleh BN Terengganu untuk penduduk Kuala Besut.

"Daripada kemudahan infrastrukturnya segalanya sudah mencukupi," katanya.