Khamis, 27 Jun 2013

PKR puas hati keputusan kes Kugan, namun desak penubuhan IPCMC

Oleh Md Izwan

PKR berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai kematian A. Kugan semalam, namun pada masa sama bertegas supaya penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) dipercepatkan.

Keputusan tersebut dialu-alukan oleh semua pihak kerana tiada sesiapa yang boleh menafikan keluarga Kugan berhak mendapat keadilan dan kebenaran di dalam tragedi malang ini, kata Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan media hari ini.

"KEADILAN mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai kematian A. Kugan."

"Saya yakin semua rakyat Malaysia yang berperikemanusiaan tidak boleh menafikan bahawa keluarga Kugan berhak mendapat keadilan dan kebenaran di dalam tragedi malang ini," kata Nik Nazmi.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk V. T. Singham dalam penghakimannya memutuskan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar dipertanggungjawabkan ke atas kematian A. Kugan ketika berada dalam tahanan polis, kerana didera secara fizikal semasa soalsiasat polis empat tahun lalu.

Singham juga memberikan pampasan sebanyak RM851,700 kepada N. Indra di atas serangan terhadap Kugan, penahanan salah, kecuaian dan pampasan kecederaan dan penderitaan.

Bagaimanapun, Nik Nazmi menegaskan Putrajaya dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak boleh mengambil ringan dan melengah-melengahkan gesaan supaya IPCMC ditubuhkan secara serta-merta kali ini kerana Singham secara terbuka juga menggesa badan tersebut ditubuhkan.

"Pada masa yang sama, keputusan ini membangkitkan persoalan yang serius dan berterusan mengenai integriti PDRM dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang mana ketika menjadi Ketua Polis Selangor didapati bertindak tidak wajar di dalam kes Kugan."

"Kami mendesak Kerajaan Persekutuan dan PDRM untuk memandang serius gesaan Hakim V. T. Singham untuk ditubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) sebagaimana dicadangkan Suruhanjaya Tun Dzaiddin Abdullah, malah mempercepatkan penubuhan institusi tersebut," tambah Nik Nazmi lagi.

Menurut kumpulan hak asasi SUARAM, terdapat 218 kes kematian dalam tahanan yang didakwa berlaku di Malaysia dari tahun 2000 hingga bulan ini, dengan rekod menunjukkan sembilan daripada kes tersebut berlaku pada tahun 2012, manakala lapan kes kematian setakat ini dilaporkan berlaku dalam tempoh lima bulan tahun ini.

Satu Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Penahanan Sewenang-wenang 2010 (United Nations Working Group on Arbitrary Detention 2010) yang melawat penjara Malaysia dan pusat tahanan melaporkan pada 2011 bahawa antara 2003 hingga 2007, "seramai 1,500 orang mati semasa ditahan pihak berkuasa".

Keluarga Kugan telah memfailkan tuntutan RM100 juta terhadap polis dan kerajaan, secara spesifiknya menamakan Khalid, mendakwa beliau cuba menyembunyikan punca kematian Kugan.

Ibu Kugan, N. Indra menamakan salah seorang pegawai penyiasat mangsa, bekas anggota polis V. Navindran sebagai salah satu lagi defendan.

Ibunya mendakwa defendan-defendan gagal untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan Kugan semasa berada dalam tahanan polis. Kugan yang pada ketika itu berumur 22 tahun, ditahan di Puchong pada 14 Januari 2009, satu malam di lokap balai polis Puchong Jaya sebelum polis mendapatkan perintah reman.

Beliau kemudiannya dibawa ke balai polis Taipan USJ, Subang Jaya dua hari kemudian untuk disoal siasat. Akan tetapi, empat hari kemudian, beliau ditemui mati.

Navindran merupakan satu-satunya orang yang dipertanggungjawabkan untuk kematian Kugan.

Beliau didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun.

Beliau kini merayu di mahkamah berhubung hukuman itu.



Tiada ulasan: