Prof Dr Shamsul Adabi Mamat.
Prof Dr Shamsul Adabi Mamat.
 
SHAH ALAM - Sungguhpun petisyen PRU13 akan memakan masa, penganalisis politik berpandangan ia tetap sebahagian proses demokrasi yang sangat penting.

Menurut Pensyarah Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Shamsul Adabi Mamat, ia  penting untuk menjawab ketidakpuasan yang telah dikemukakan parti politik bertanding pada PRU lalu.

Katanya, dalam proses tersebut, ia akan mendedahkan sesuatu sama ada tuduhan yang dilemparkan adalah kebenaran atau sebaliknya.

“Apabila kedua-dua pihak kemukakan petisyen, ini menjelaskan penipuan tidak hanya berlaku di pihak mereka sahaja. Ini proses demokrasi yang akan  ambil masa, tetapi setiap keputusan perlulah diterima secara terbuka oleh pihak-pihak terbabit bukan secara bantahan atau demo jalanan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Jelas Shamsul, perkara (petisyen) ini perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan di Mahkamah Tinggi, selepas itu boleh dibawa ke Mahkamah Rayuan,  jadi semuanya perlu diselesaikan dalam tempoh setahun.

Katanya, jika petisyen yang dikemukakan itu gagal berserta dengan bukti, besar kemungkinan ia akan ditolak pada peringkat awal lagi.

Sesuatu petisyen boleh dibuat atas sebab perbuatan rasuah atau sebarang salah laku yang mungkin menjejaskan pilihan raya, ketidakpatuhan undang- undang dan peraturan pilihan raya.