Khamis, 27 Jun 2013

Penyelaras SAMM Selangor didakwa anjur perhimpunan haram

THE MALAYSIAN INSIDER
 
Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor, Azhar Achil dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Klang hari ini atas pertuduhan menganjurkan perhimpunan haram di Sabak Bernam dekat sini minggu lepas.

Azhar, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

Tertuduh didakwa menganjurkan perhimpunan jelajah suara rakyat Black 505 dengan tidak memberikan notis kepada Ketua Polis Daerah dalam tempoh 10 hari sebelum program itu diadakan.

Azhar didakwa melakukan kesalahan itu di Dataran Tembak 10, Sungai Besar, Sabak Bernam, pada pukul 9 malam, 18 Jun lepas serta didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 9 (5) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail mencadangkan agar Azhar dibebaskan dengan jaminan RM5,000 serta seorang penjamin atas alasan keseriusan kesalahan yang dilakukan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu supaya mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang rendah memandangkan dia telah memberi kerjasama yang baik kepada polis.

Tasnim kemudian membenarkan Azhar dibebaskan dengan jaminan RM4,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 20 Julai ini untuk sebutan semula kes. - Bernama,

Tiada ulasan: