Isnin, 10 Jun 2013

Pensyarah Politik sanggah SPR isu dakwat tak kekal


KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff menyanggah kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengatakan badan itu menjalankan kerja dengan baik dalam mengurus Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) lalu.

Sambil menyifatkan SPR gagal, Pensyarah Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu mempersoal signifikan penubuhan Jawatankuasa Khas terdiri daripada Ahli Parlimen daripada semua parti politik bagi mengawal selia kredibiliti dan integriti SPR seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 1 Jun lalu.

Agus

Katanya, kegagalan SPR mengendalikan daftar pemilih bersih dan penyediaan dakwat kekal dengan baik merupakan contoh terbaik untuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatan.

“Kenapa perlu ditubuhkan jawatankuasa untuk memantau SPR? Tidak perlu jawatankuasa untuk memantau SPR kerana ia sebuah badan bebas.

“Apa yang kita perlukan sekarang ialah anggota SPR yang boleh bertindak cekap untuk mengurus pilihan raya yang adil dan bebas. Itu yang kita belum ada,” kata Agus difacebooknya.

Jika kerajaan ingin meneruskan hasrat menubuhkan jawatankuasa berkenaan, beliau mencadangkan dua solusi agar perkara tersebut dapat dilaksanakan dengan baik.

“Kerajaan perlulah menubuhkan sebuah panel yang terdiri dari wakil parti mengikut kuota undi popular yang diterima oleh parti, dan setiap parti hendaklah berhak menamakan wakil masing-masing, bukannya ditentukan oleh kerajaan.

“(Kedua) jawatankuasa ini juga perlulah diberi rangka kerja untuk mengkaji beberapa pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Pilihan Raya 1958, Peraturan-peraturan (Penjalanan Pilihan Raya) Pilihan Raya, 1981, Peraturan-peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihan Raya, 2002 dan Peraturan-peraturan (Mengundi Melalui Pos) Pilihan Raya, 2003,” katanya lagi.

Tiada ulasan: