Selasa, 25 Jun 2013

Pendakwaan: Tiada apa-apa yang boleh kaitkan Najib

 


 
Pendakwaan dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa tiada apa-apa yang boleh mengaitkan timbalan perdana menteri pada masa itu, Datuk Seri Najib Razak dengan pembunuhan wanita warga Mongolia itu.

Timbalan Peguam Cara Negara III, Tun Abdul Majid Tun Hamzah berkata ia ekoran pengakuan Cif Insp Azilah Hadri dalam pembelaannya bahawa tindakannya dijalankan sendiri.

Tun Abdul Majid mengakui bahawa penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dengan pembunuhan tersebut, mengenali Najib.

Beliau juga berkata DSP Musa Safri merupakan pembantu peribadi Najib pada waktu itu.

"Hanya kerana Abdul Razak mengenali TPM pada masa itu, dan Musa (sebagai pembantu peribadi) bekerja dengan TPM, anda tidak boleh mengaitkan segalanya dengan TPM.

"Tiada apa-apa yang boleh mengaitkan TPM pada masa itu dengan apa yang didakwa dilakukan Abdul Razak,” kata Tun Abdul Majid dalam hujahnya.

Beliau membalas hujah yang dikemukakan Azilah dan seorang lagi anggota Unit Tindakan Khas, Kpl Sirul Azhar Umar.

Kedua-duanya sebelum ini mengemukakan hujah untuk dibebaskan daripada tuduhan membunuh warga Mongolia berusia 28 tahun di Puncak Alam, Shah Alam di antara 10 malam pada 19 Oktober dan 1 pagi 10 Oktober 2006.

Tiada ulasan: