Isnin, 3 Jun 2013

Pemuda Umno mahu SKMM bertindak tegas individu hina Agong

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
 
sinar harian
 

JOHOR BAHRU - Pergerakan Pemuda Umno mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak cepat dan tegas terhadap individu yang menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menerusi laman sosial Facebook.
  
Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata perbuatan menyalahgunakan kebebasan untuk menulis dalam media sosial itu tidak boleh dikompromi dan tindakan perlu dikenakan kerana ia melampaui batas.
  
"Pemuda Umno memandang serius beberapa 'posting' yang telah dibuat dalam media sosial terutama dalam Facebook. Yang terkini adalah 'posting' dalam Facebook iaitu kenyataan-kenyataan yang menghina kedudukan Yang di-Pertuan Agong.
  
"Walaupun saya selaku Ketua Pemuda Umno menyokong kebebasan bersuara tetapi ada batasnya dan sikap bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor, Larkin, di sini, hari ini.
  
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata pihaknya sudah cuba mendidik dan berhubung dengan pengamal media sosial sejak dahulu lagi, namun, masih terdapat di kalangan mereka yang tetap berdegil dengan terus mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab.
  
Beliau berkata keamanan negara dapat dikekalkan sekiranya undang-undang sedia ada di bawah SKMM dapat dikuatkuasakan tanpa rasa takut.  

"Kita (Pemuda Umno) sudah melakukan banyak cara untuk mendidik mereka, cuba berhubung tetapi apabila mereka masih lagi degil dan keluarkan kenyataan yang jelas berbaur hasutan, maka SKMM mesti bertindak," katanya. - Bernama



Tiada ulasan: