Datuk Mukhriz Mahathir
Datuk Mukhriz Mahathir
 
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang teguran daripada barisan pembangkang atas pengalaman mentadbir negeri Kedah, sebelum ini.
  
Bagaimanapun, Mukhriz berkata teguran tersebut perlu berasaskan fakta dan berharap anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang sepatutnya lebih memahami kesukaran mentadbir sesebuah negeri, walaupun pernah mentadbir Kedah hanya lima tahun.
  
Beliau turut berharap agar pihak pembangkang akan lebih bersifat empati terhadap kerajaan sedia ada.
  
"Tegurlah kerajaan negeri kalau ada kepincangan, sebab pihak kami tak fikir kerajaan negeri betul 100 peratus sebab mungkin ada yang terlepas pandang atau maklumat tidak sempurna.
  
"...Pengalaman ini (mentadbir negeri) sangat penting untuk meningkatkan kefahaman dua-dua pihak, dalam demokrasi penting wujud peranan semak dan imbang," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah Adun Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Sebagai 'orang baharu' dalam Dun Kedah, Mukhriz berkata beliau belum dapat membuat perbandingan mengenai perjalanan sidang DUN, namun berharap ia tidak berlaku seperti dalam Dewan Rakyat.
  
"Kalau banding dengan Dewan Rakyat, harap tak berlaku (dalam Dun). Polemik politik terlampau dalam Dewan Rakyat, suasana agak tegang dan peraturan mesyuarat dilanggar sewenang-wenangnya," kata Mukhriz.
  
"Saya lihat nama-nama (Adun) ramai yang baru, ada juga orang lama dan rasa sidang dewan akan meriah dengan pandangan dan idea baharu.
  
Sementara itu, beliau berkata pemilihan Datuk Md Rozai Safian sebagai Speaker Dun Kedah dan Adun Bayu, Datuk Azmi Che Husain sebagai Timbalan Speaker merupakan pilihan yang tepat berikutan kedua-duanya mempunyai pengalaman dalam mengawal perjalanan dewan. - Bernama