Selasa, 4 Jun 2013

Pelantikan Saifuddin: Terima dengan positif

Wartawan Sinar Harian

saifuddin

SHAH ALAM - Pelantikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai Pegawai Perhubungan Politik Selangor, bertujuan menyelaras pemikiran setiap komponen untuk menjadikan Pakatan Rakyat (PR) Selangor negeri kuat.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, pimpinan komponen PR Selangor terutama Pas menerima dengan positif pelantikan Saifuddin itu sebagai satu penambahbaikan bagi mengukuhkan lagi pentadbiran.

“Pas Selangor tidak berdepan sebarang masalah dengan jawatan baru ini kerana menteri besar juga berjanji akan melantik pimpinan Pas dan DAP dalam kapasiti sama.

“Kewujudan jawatan itu adalah baik sebenarnya dalam menentukan penyelarasan pemikiran antara Pas, PKR dan DAP,” katanya ketika mengulas mengenai pelantikan
Saifuddin.  

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Selangor berkata, pelantikan Saifuddin adalah relevan kerana Selangor sebagai negeri contoh yang membuktikan ketiga-tiga komponen parti sama kuat dan bekerjasama.

“Jawatan sebagai Pegawai Perhubungan Politik Selangor berfungsi sebagai penjalin hubungan politik. Ia berperanan menangani isu-isu politik yang dihadapi di dalam negeri Selangor untuk ketiga-tiga komponen duduk berbincang bersama menyelaras pemikiran setiap komponen untuk menjadikan PR Selangor negeri kuat,” katanya.

Sementara itu mengulas perkara sama, Timbalan Setiausaha DAP Selangor, Ng Suee Lim berkata, jawatan itu adalah perkara lazim dalam perkembangan politik untuk memperkukuh institusi menteri besar.

“Jawatan ini adalah sebagai perhubungan antara parti dan ia perlu ada dalam sesebuah negeri untuk menyelesaikan beberapa perkara yang melibatkan ketiga-tiga komponen,” katanya.

Bagaimanapun, Suee Lim yang juga Adun Sekinchan memaklumkan komponen PR Selangor masih belum jelas fungsi dan bidang tugas jawatan baru berkenaan.

“Kita masih menunggu fungsi sebagai tugas tersebut. Bagaimanapun, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pastinya ada sebab kukuh untuk berbuat demikian,” katanya.

Tiada ulasan: