Walaupun menerima keputusannya, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) melahirkan dukacita mereka terhadap sebuah kes pertikaian di mahkamah syarie dibawa ke mahkamah sivil.

Setiausaha agungnya Moeis Basri berkata, seharusnya perundangan syariah berkenaan kepeguaman syarie serta kawalan terhadap pegamalnya diseragamkan di seluruh megara melalui akta atau undang-undang bertulis mengandungi kaedah disiplin dan perlaksanaannya.

Menurutnya lagi, ia bagi membolehkan pengawal disiplin dan pengamal jelas dengan tatacara dan kaedahnya untuk mengelak pertikaian seumpama kes tersebut berulang.

"Bagi memberi kesan yang efektif terhadap perjalanan apa-apa tindakan tatatertib terhadap peguam syarie, PGSM juga berharap agar wakil daripada PGSM atau wakil negeri berkenaan yang dilantik oleh PGSM diletakkan dalam jawatankuasa disiplin dan dengan itu juga dapat mempertingkatkan kerjasama," katanya.

Pada 25 Jun lalu, seorang peguam syarie berjaya mengetepikan keputusan Jawatankuasa Peguam Syarie dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang menggantung khidmatnya.

Ini susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusof yang membenarkan permohonan Muhamad Burok untuk membatalkan keputusan Jawatankuasa Peguam Syarie pada 23 April 2012 yang menggantung khidmatnya selama enam bulan bermula 1 Jun 2012.

Hakim Zaleha juga membatalkan keputusan yang dibuat MAIWP pada 13 Ogos 2012 yang mengenakan tindakan sama berkuatkuasa mulai September 2012 hingga 28 Februari lalu, Bernama.

Beliau memerintahkan kedua-dua responden membayar ganti rugi am yang akan ditaksir kemudian dan kos sebanyak RM7,000 kepada Muhamad.

Muhamad memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk mengisytiharkan keputusan kedua-dua responden tidak sah pada 4 Oktober 2012 kerana menggantung tugas beliau sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan selepas seorang anak guamnya membuat aduan atas alasan beliau gagal hadir satu keputusan kes cerai.