KUALA LUMPUR– Penyiasat tunggal pasukan petugas
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang ditubuhkan untuk
menyiasat kes kematian dalam tahanan merupakan pegawai sama
mengendalikan kes Teoh Beng Hock, dakwa Pakatan Rakyat (PR).
PR mendakwa, pegawai berkenaan, Mohd Nadzri Ibrahim, merupakan bekas
pegawai Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang
terlibat dalam kes mendiang Teoh Beng Hock.
“Mengikut laporan-laporan berita, Mohd Nadzri adalah pegawai yang
telah merakamkan keterangan Teoh pada malam kematiannya,” kata ahli
Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong dan ahli Parlimen Bukit
Bendera Zairil Khir Johari.
“Malah, Majlis Peguam juga pernah menyarankan tindakan siasatan
lanjutan diambil terhadap beberapa pegawai SPRM yang terlibat, termasuk
Mohd Nadzri, atas tuduhan konspirasi jenayah, persubahatan serta
mengusik bukti (tampering with evidence) dalam kes tersebut.”
Pasukan berkenaan merangkumi enam pegawai EAIC, yang diketuai
pengerusinya Datuk Heliliah Mohd Yusof, pesuruhjaya Datuk Seri Robert
Jacob Ridu, setiausaha Ahmad Razif Mohd Sidek, pengarah Foo Hui Yi,
penasihat undang-undang Eda Mazuin Abdul Rahman dan pegawai penyiasat
tunggal EAIC, Mohd Nadzri Ibrahim.
Laman web EAIC, jelas kedua-dua mereka, Mohd Nadzri tersenarai sebagai satu-satunya pegawai penyiasat dalam direktori EAIC.
“Jika ini adalah benar, ini bermaksud bahawa seorang pegawai yang
pernah terlibat dalam kes kematian dalam tahanan kini ditugaskan untuk
menyiasat kes-kes kematian dalam tahanan yang lain. Oleh itu, integriti
EAIC sekali lagi menjadi persoalan besar,” kata mereka lagi.
“Malah menurut kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif EAIC Nor Afizah
Hanum Mokhtar, pegawai penyiasat EAIC telah diwarisi daripada SPRM.”
Pencarian dalam direktori SPRM juga kata kenyataan yang dikeluarkan
tengahari ini menunjukkan bahawa Mohd Nadzri Ibrahim sudah tidak lagi
tersenarai.
“Maka, kemungkinan besar pegawai penyiasat tunggal EAIC Mohd Nadzri
Ibrahim merupakan pegawai SPRM sama yang telah menyoal siasat Teoh Beng
Hock sebelum kematiannya,” kata mereka.
Mereka justeru menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
mengambil tindakan segera dengan melucut jawatan Mohd Nadzri
memandangkan badan berkenaan berada di bawah seliaan beliau.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan Ketua Biro Hak Asasi
Manusia Perundangan PKR Latheefa Koya menyelar pengerusi EAIC, kerana
mengeluarkan kenyataan mengkritik pembangkang.
“Kami terkejut Heliliah sebagai ketua kepada badan bebas mengkritik
pembangkang sedangkan beliau sepatutnya mengambil tindakan terhadap
rungutan dan fungsi EAIC,” katanya dalam kenyataan tersebut.
“EAIC gagal menyelesaikan kebimbangan awam terhadap cara mereka yang
tidak efisyen berbanding Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis
(IPCMC).
“Kenyataan Heliliah menunjukkan satu lagi badan bebas bersekutu dengan kerajaan Barisan Nasional (BN).”
Heliliah semalam mengatakan tidak kisah dengan kritikan pembangkang
PR yang mendakwa mereka gagal melaksanakan tanggungjawab terutamanya
melibatkan kes kematian dalam tahanan.
Agensi kerajaan itu menerima tekanan daripada pelbagai pihak
terutamanya melibatkan isu kematian 9 orang dalam tahanan polis
sepanjang tempoh tahun ini, yang terbaru adalah melibatkan kematian
warga Jepun Nobuhiro Matsushita, 33, ditemui tergantung pada palang besi
pintu lokap di Balai Polis USJ 8 Subang Jaya hujung minggu lalu.
Menurut Heliliah sudah menjadi sikap pemimpin pembangkang sentiasa
mengkritik terutamanya terhadap kerajaan, disamping menegaskan agensi
yang diterajuinya adalah bebas dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.
“Adakah mana-mana badan yang diwujudkan kerajaan, walaupun dengan
tulus ikhlas, pihak pembangkang akan mengatakan itu adalah digalakkan
dan menyokongnya?” katanya semalam.
“Saya ingin tegaskan suruhanjaya adalah sebuah agensi bebas walaupun
kami mendapat sumber kewangan daripada Jabatan Perdana Menteri... kami
perlu menjawab kepada Parlimen.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan