Isnin, 24 Jun 2013
Pandikar Amin cadang Pakatan tubuh “Kabinet Bayangan”
Pakatan Rakyat (PR) dicadangkan untuk menubuhkan satu "Kabinet Bayangan" dalam sidang Dewan Rakyat Ke-13, kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia selepas dilantik untuk penggal kedua dalam ucapan pemasyhuran di Parlimen pagi ini.
Pandikar yang baru dilantik selepas memenangi pengundian dengan 133 undi berkata cadangan tersebut bertujuan untuk memudahkan proses perdebatan apabila Dewan Rakyat mula bersidang secara rasminya nanti.
"Saya berharap perubahan ini akan disusuli dengan pengwujudan barisan Kabinet Bayangan untuk memudahkan pengendalian perbahasan dalam konteks mengenalpasti pembahas-pembahas utama daripada pihak pembangkang," kata Pandikar.
Disamping itu, Pandikar juga menjelaskan kedudukan ahli Parlimen pada Dewan Rakyat kali ini disusun mengikut jawatan paling kanan berbeza dengan dahulu yang mengikut blok parti bertujuan untuk memudahkan keutamaan diberikan kepada para mereka semasa berdebat.
"Sementara itu, dalam hal-hal berhubung dengan pengendalian majlis mesyuarat pasti stailnya juga akan berbeza dari Parlimen ke-12.
"Disamping itu, saya perhatikan tempat duduk ahli-ahli Parlimen terutama sekali daripada pihak pembangkang telah juga diubah mengikut ke kananan sebagai satu parti berbeza semasa Parlimen ke-12 dimana tempat duduk MP mengikut blok parti masing-masing," tambahnya lagi.
Pandikar menang pengundian selepas menewaskan calon pembangkang PR, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman yang mendapat 89 undi.
Abdul Kadir dicalonkan oleh MP Bandar Tun Razak yang juga Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan disokong oleh MP Bukit Gelugor, Karpal Singh.
Walau bagaimanapun sesi pengundian Speaker bermula dengan kekecohan selepas Ahli Parlimen (MP) pembangkang Pakatan Rakyat (PR) mempertikaikan arahan mewajibkan MP menulis nama mereka di atas kertas undi sebaliknya mahukan hanya tandatangan sahaja ditulis.
MP Puchong (DAP) Gobind Deo Singh, MP Batu (PKR) Tian Chua dan MP Pokok Sena (PAS) Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan ketetapan arahan Dewan Rakyat sedemikian tidak diperlukan.
"Ini tidak masuk akal," kata Gobind sebelum majlis angkat sumpah MP bermula.
Sementara itu, dua wakil daripada kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN) Datuk Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said telah dilantik sebagai Timbalan Speaker pada sidang Dewan Rakyat Ke-13 kali ini.
Pandikar dalam ucapannya lagi juga menggesa supaya MP yang baru mengangkat sumpah agar mencerminkan imej sebagai seorang wakil kepada rakyat dan menunjukkan kematangan semasa berdebat.
"Marilah sama-sama kita menunaikan tanggungjawab sebagai ahli dewan yang mulia dengan penuh dedikasi, beramanah dan berkesan," kata Pandikar.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan