Khamis, 13 Jun 2013

Pakatan namakan bekas hakim Speaker Dewan Rakyat

HARAKAH DAILY

 
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) sebulat suara bersetuju menamakan mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman (gambar) sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi Parlimen Ketiga Belas.

Menurut Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penamaan Abdul Kadir itu telah dikemukakan atas nama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak merangkap Menteri Besar Negeri Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai mewakili pendirian PR pada 10 Jun lalu.

Katanya, satu pemberitahu bersurat mengenai penamaan itu telah dikemukakan kepada Setiausaha Dewan Rakyat mengikut kehendak Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 4(1).

Beliau dalam kenyataan menyatakan,  PR bertegas bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat mesti dilantik dari kalangan seorang yang bebas, berkecuali tanpa parti, berwibawa dan berkelayakan untuk berkhidmat.

Menurutnya lagi, Abdul Kadir memenuhi semua kriteria yg selayaknya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Beliau telah menabur bakti kepada negara selama lebih 50 tahun dalam pelbagai Jabatan, Kementerian, Negeri, Suruhanjaya, Kehakiman dan Majlis Diraja Negeri,” ujarnya.

Abdul Kadir bersara sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 28 Mac 2006.

Kemudiannya dilantik menjadi anggota Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai kematian Teoh Beng Hock, anggota Jawatankuasa Eksekutif Transformasi SPRM dan Ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu.

“PR berkeyakinan penuh bahawa pemilihan Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Yang Dipertua akan meningkatkan lagi penghormatan rakyat terhadap institusi Parlimen dan melonjakkan kewibawaannya di persada antarabangsa,” kata Anwar lagi.

Tiada ulasan: