KUALA LUMPUR: Gabungan lebih 50 badan bukan kerajaan (NGO) akan menganjurkan program “countdown” (mengira detik) sebelum berlangsungnya perhimpunan aman #Blackout505 yang akan diadakan di Kuala Lumpur, 22 Jun nanti.
Program tersebut dimulakan dengan aksi ‘flash mob’ yang melibatkan rakyat dari pelbagai kaum dan latar belakang di sepanjang jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur bermula jam 2.00 petang Sabtu ini.
Dalam acara flash mob itu nanti, orang ramai juga diseru agar hadir dengan membawa pelbagai plakad berdasarkan kretiviti masing-masing.
Menurut Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, selain flash mob di Jalan Tunku Abd Rahman acara countdown ini juga diadakan di beberapa tempat di seluruh negara.
“Bagi memastikan mobilisasi terbesar dan sebagai aksi akhir membangkitkan kesedaran rakyat tentang penipuan Pilihan Raya Umum ke-13, Gabungan Suara Rakyat 505 mengkordinasi sebuah jelajah mengira detik menuju 22 Jun.”
Badrul Hisham berkata demikian dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di sini hari ini.
Pada 17 Jun pula, program Pidato Perdana akan diadakan dengan melibatkan beberapa pemimpin NGO dan aktivis mahasiswa bertempat di Padang Awam, Halaman Meru Permai, Meru Raya, Ipoh.
Program countdown itu diteruskan pada 18 Jun di Dataran Tonggak 10, Sg Besar, Selangor dengan satu lagi program Pidato Perdana.
‘Flash mob’ kembali beraksi bagi fasa ke dua bertempat di Jalan Tun Perak, berhampiran Pudu Raya bermula jam 6.00 petang pada 19 Jun.
Pada 20 Jun pula, Pidato Perdana kembali mengambil tempat pada 20 Jun bertempat di Taman Muhibbah, Temerloh Pahang.
Manakala acara ‘Malam Kemuncak Kira Detik’ pula akan diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada sebelah malam 21 Jun nanti.
Selain SAMM, antara NGO lain terlibat termasuklah Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Jerit, Radio Bangsar, Kill The Bill, Universiti Bangsar Utama (UBU) dan lain-lain.
Acara-acara countdown tersebut turut melibatkan nama besar Pakatan Rakyat seperti MP Batu, Tian Chua, Timbalan PAS, Mohamad Sabu, aktivis mahasiswa, Adam Adli dan Safwan Anang, aktivis Hishamuddin Rais, Badrul Hisham sendiri dan lain-lain.
Sementara itu, mengulas Perhimpunan Blackout505 pada Jun 22 nanti, Badrul Hisham menjangkakan perhimpunan tersebut akan mengumpulkan lebih 200,000 perserta perhimpunan.
Turut sama dalam sidang media tersebut Hishamuddin dan wakil-wakil dari beberapa NGO lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan