Khamis, 27 Jun 2013

NFC: Berapa ganti rugi dibayar kepada kerajaan

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Siti Zailah Mohd Yusoff [PAS-Rantau Panjang] meminta Menteri Kewangan menyatakan kerugian yang ditanggung oleh kerajaan hasil kegagalan projek NFC.

Dalam soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini, beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat turut meminta Perdana Menteri menyatakan setakat ini berapakah bayaran ganti rugi yang telah dikembalikan kepada kerajaan oleh pihak yang terbabit.

Soalan ahli-ahli Dewan Rakyat daripada PAS yang lain adalah seperti di bawah.

Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali [Kuala Nerus] minta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan menyatakan usaha-usaha yang telah diambil untuk mengawal peningkatan harga rumah kediaman di kawasan bandar.

Dr. Haji Izani Husin [Pengkalan Chepa] minta Menteri Kesihatan menyatakan adakah Kerajaan sedar hampir semua Pusat Hemodialisis sekarang ini dikenakan syarat oleh Malaysia Society of Nephrology (MSN) supaya 'person in charge (PIC)' mesti dari kalangan Doktor Pakar Perubatan Penyakit Dalaman (internal medicine), sedangkan syarat tersebut tidak wujud dalam mana-mana peraturan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Ahmad Marzuk Shaary [Bachok] minta Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi menyatakan di mana tapak pelupusan sisa  radioaktif Lynas akan ditempatkan. Lebih-lebih lagi, apabila Nicholas Curtis, pengerusi Syarikat Lynas berkata tidak ada peruntukan untuk membawa sisa-sisa Lynas ke luar negara sebelum ini.

Dr. Mohd Hatta Md. Ramli [Kuala Krai] minta Perdana Menteri menyatakan bagaimanakah perlaksanaan meletakkan SPR di bawah  pengawasan Parlimen.

Dr. Siti Mariah Mahmud [Kota Raja] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan pelan tindakan Kementerian untuk memastikan jumlah perwakilan wanita meningkat di dalam Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat.

Datuk Mahfuz bin Omar [Pokok Sena] minta Perdana Menteri menyatakan jumlah kontrak yang berasaskan Risk Service Contract (RSC) yang dikeluar dan diluluskan oleh Petronas dan senaraikan nama syarikat tempatan mengikut pecahan Bumiputera dan bukan Bumiputera yang telah dianugerahkan kontrak tersebut.

Dr. Nik Mazian Nik Mohamad [Pasir Puteh] minta Perdana Menteri menyatakan usaha-usaha yang telah diambil oleh pihak JAKIM untuk memastikan status halal dalam bidang farmaseutikal di Malaysia.

Ahmad Baihaki Atiqullah [Kubang Kerian] minta Perdana Menteri menyatakan apakah jenis-jenis peruntukan untuk Kerajaan Negeri Kelantan yang disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Kelantan, sejak ditubuhkan hingga kini dan berapakah jumlahnya.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz [Pasir Mas] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan isu sebenar yang melatari kes penggantungan bekas ketua jurulatih olahraga kebangsaan dan enam atlet pecut negara baru-baru ini.

Nasrudin Hassan [Temerloh] minta Menteri Pendidikan menyatakan bila pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Berchang, Kuala Lipis akan dimulakan.

Mohamed Hanipa Maidin [Sepang] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan adakah pihak polis telah menyiasat pendedahan Peguam Americk Singh Sidhu pada 16 Mac 2013 di Mesyuarat Agung Majlis Peguam yang menyatakan Peguam Cecil Abraham mengakui kepada Americk bahawa Perdana Menteri telah meminta beliau menyediakan Akuan Bersumpah palsu mendiang P. Balasubramaniam.

Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah [Kuala Terengganu] minta Menteri Kerja Raya menyatakan apakah polisi rasmi Kerajaan tentang pengawasan-pengawasan kerja di tapak projek yang dikendalikan oleh perunding swasta dipantau oleh wakil perunding swasta atau Kerajaan.

Wan Hasan Mohd Ramli [Dungun] minta Menteri Kesihatan menyatakan bilakah hospital baru daerah Dungun akan dimulakan pembinaan dan bilakah jangkaan operasi sepenuhnya.

Datuk Kamarudin bin Jaffar [Tumpat] minta Menteri Luar Negeri menyatakan bilakah Kedutaan Malaysia di Palestin akan dibuka.

Tiada ulasan: