Khamis, 27 Jun 2013

Napisah ziarah keluarga Allahyarham Dr A. Rahman

Anis Nazri,


KUALA LUMPUR: Biarpun berbeza pandangan politik, ia tidak membataskan bekas calon PAS di Kuala Besut, Napisah Ismail untuk menziarahi keluarga Adun Kuala Besut, Allahyarham Dr A. Rahman Mokhtar yang meninggal dunia, pagi semalam akibat penyakit kanser paru-paru.

Napisah, menziarahi keluarga Allahyarham pagi ini bersama tujuh anggota Hal Ehwal Wanita (Helwa) PAS Besut dan sempat meluangkan masa kira-kira setengah jam bersama isteri Allahyarham.

Ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini, Napisah yang turut merakamkan takziah kepada allahyarham berkata isteri Allahyarham kelihatan begitu tabah dengan ujian yang menimpa ini dan melayani beliau dan rombongan dengan begitu mesra sekali.

"Biarpun baru kehilangan insan tersayang, beliau tidak jemu-jemu melayan kami dengan baik.  Begitu juga dengan Allahyarham, yang sepanjang kami kempen bersama, tidak pernah menyerang peribadi antara satu sama lain," kata beliau.

Serah pimpinan parti

Menyentuh soal calon PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut, Napisah menyerahkan segala keputusan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya.

Tambah Napisah, sama ada beliau dicalonkan semula atau calon lain diletakkan bertanding di situ, ia tidak sesekali menjejaskan gerak kerja PAS Besut untuk memenangkan calon PAS kelak.

"Saya tidak kisah, sama ada dicalonkan semula atau tidak. Bukan tujuan saya untuk berebut menjadi calon. Yang penting, sesiapapun calon yang diketengahkn kelak, saya akan berkerja keras untuk memastikan calon itu mendapat kemenangan," kata beliau lagi.

Allahyarham Dr A. Rahman Mokhtar yang juga Exco Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilaporkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9.40 pagi semalam di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu, allahyarham Dr A. Rahman menang terhadap calon PAS, Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Allahyarham mendapat 8,809 manakala Napisah mendapat 6,375 undi.

Kuala Besut mempunyai jumlah pengundi berdaftar seramai 17,713 orang dengan peratusan 97.9 peratus adalah Melayu, 1.6 Peratus Cina dan 0.1 peratus India.

Tiada ulasan: