Sabtu, 1 Jun 2013

Najib: Kawal selia, fungsi SPR bakal dipindah ke satu jawatankuasa khas

SINAR HARIAN

Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan memutuskan untuk memindahkan fungsi dan kawal selia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili anggota Parlimen daripada semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang sebagai langkah memperkukuhkan kewibawaan serta kredibiliti badan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dengan langkah ini, diharap kebebasan SPR tidak dipersoal lagi dan keyakinan rakyat terhadap SPR akan dapat diperkukuhkan.
 
"Kerajaan akan memberi kerjasama penuh kepada SPR untuk menambah baik wibawa perjalanan pilihan raya di negara ini walaupun pilihan raya umum ke-13 (PRU13) telah berlangsung dengan baik dan lancar.

"Janganlah kerana kepentingan diri dan kelompok tertentu, ada pihak cuba merosakkan kebolehpercayaan institusi itu dengan melempar pelbagai persepsi liar.
 
"SPR bukanlah sebuah agensi atau jabatan kerajaan, sebaliknya sebuah mekanisme yang ditubuh berasaskan peruntukan undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan dan anggotanya mendapat perlindungan jawatan yang sama dengan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan," katanya.

Najib berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sempena hari keputeraan Seri Paduka dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan di Istana Negara.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berkenan berangkat menghadiri majlis itu.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri Kabinet.

Tambah Najib,selesainya proses pilihan raya bermakna penerusan kembali pelayaran bahtera negara untuk tempoh lima tahun akan datang menuju matlamat wawasan kebangsaaan.

"Dalam tempoh itu kita akan menamatkan Rancangan Malaysia (RMK) ke-10 dan memulakan RMK ke-11, rancangan pembangunan lima tahun terakhir sebelum tercapainya Wawasan 2020 yang akan menyaksikan Malaysia, dengan izin ALLAH SWT, menyertai kelab negara berpendapatan tinggi dunia," katanya.

Najib turut melaporkan kepada Tuanku Abdul Halim bahawa buat kali ke-13 sejak merdeka, Malaysia berjaya menyelesaikan secara aman dan tertib pilihan raya umum bagi memilih wakil rakyat, seterusnya membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dan 12 negeri mengikut lunas-lunas yang digariskan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara.
 
"Patik ingin menjunjung kasih di atas perkenan kepercayaan Tuanku melantik patik selaku Perdana Menteri Malaysia selaras dengan mandat yang telah diberikan rakyat di bawah sistem raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen.
 
"Amanah ini akan patik dan rakan-rakan jemaah menteri serta anggota pentadbiran lain lunaskan dengan penuh keinsafan bagi membawa rakyat dan negara ke arah kemakmuran dan kesejahteraan dengan bimbingan Tuanku dan izin ALLAH SWT," kata Najib. - Bernama

Tiada ulasan: