Selasa, 25 Jun 2013

MP: Pakatan tetap mahu IPCMC, tolak EAIC

MALAYSIA KINI


 
Pakatan Rakyat terus menuntut agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang didakwa dilingkari pelbagai kepincangan.

Dua MP Pakatan Rakyat dalam kenyataan bersama hari ni berkata, gabungan parti itu akan tidak berganjak dari gesaan berkenaan demi “membebaskan agensi penguatkuasaan seperti PDRM dan SPRM daripada pengaruh politik.

“Sandiwara EAIC yang bertujuan untuk menarik perhatian daripada kegagalan kerajaan untuk menubuhkan IPCMC harus dihentikan segera,” kata MP berkenaan – Steven Sim Chee Keong
(Bukit Mertajam) dan Zairil Khir Johari (Bukit Bendera).

MP berkenaan membangkitkan bahawa penubuhan EAIC antara lainnya bagi mengelak salah guna kuasa pihak berkuasa sehingga membawa kematian tahanan.

Bagaimanapun, kes kematian dalam tahanan terus meningkat – termasuk empat kes yang menjadi tumpuan utama, yang merupakan antara sembilan kes dalam enam bulan pertama tahun ini.

“EAIC bukan sahaja tidak dapat memenuhi matlamat utamanya, ia juga tidak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

“Tambahan pula dengan kepincangan yang telah didedahkan baru-baru ini, adalah jelas EAIC sudah menjadi satu kegagalan besar kerajaan pimpinan Dato’ Sri Najib Razak dan harus dimansuhkan dengan serta merta,” kenyataan itu dipetik.

MP berkenaan turut membangkitkan semula isu yang membelit EAIC sebelum ini, termasuk kes melibatkan seorang pesuruhjayanya, Datuk Salehuddin Saidin.

Salehuddin pada awalnya menjadi peguam bela kepada salah pegawai polis yang terlibat dalam kes kematian N Dhamendran, yang kemudian mengumumkan menarik diri daripada kes berkenaan.

Tiada ulasan: