MCA hari ini mengecam tindakan bekas Hakim Mahkamah Rayuan
Datuk Mohd Noor Abdullah yang dikatakan bermain dengan api apabila
berulang kali menggesa supaya memansuhkan sekolah vernakular, terbaru
gesaan sama dilakukannya pada forum dua hari lalu.
Menurut Pengerusi Biro Publisiti MCA Datuk Heng Seai Kie kenyataan
oleh Mohd Noor sebagai tidak bertanggungjawab kerana tidak mencerminkan
imejnya sebagai seorang yang profesional dan merupakan seorang bekas
hakim.
"Saya berharap beliau mempunyai akal untuk berhenti daripada bermain dengan api," kata Heng dalam satu kenyataan hari ini.
"Mohd Noor tidak dinafikan adalah seorang pakar, oleh sedemikian
beliau sepatutnya tahu dengan kenyataan ekstrem begitu ia hanya akan
mengugat keharmonian kaum di Malaysia," tambah beliau lagi.
Menurut Heng, semua pelajar yang belajar di sekolah vernakular Cina
tidak pernah mengabaikan pembelajaran bahasa kebangsaan, malahan sekolah
tersebut semakin mendapat tempat di kalangan ibu bapa pelbagai kaum
kerana peningkatan pelajar di sekolah vernakular.
"Hakikatnya kami
dapat bertutur dengan fasih dalam bahasa Malaysia adalah bukti kukuh
kami tidak pernah mengabaikan bahasa kebangsaan.
"Malahan sekolah vernakular juga semakin popular dan diterima oleh
semua dimana pelbagai kaum menghantar anak mereka ke sekolah
vernakular... maka tidak wajar jika mahu menuduh sekolah vernakular
mendorong kepada kaum dan perpecahan kaum," tegas beliau lagi.
Mohd Noor telah menimbulkan kontroversi bulan lalu apabila mangatakan
kaum Cina bakal menerima tindakan daripada Melayu akibat daripada
“pengkhianatan” dilakukan terhadap "setiakawan" dalam Pilihan Raya 2013.
Mohd Noor turut dilaporkan berkata sistem persekolahan tersebut tidak
diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan negara dalam satu forum
bertajuk "Wacana Post-Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival
Ummah" anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di Kuala
Lumpur pada 12 Mei lalu.
"Menurut Perlembagaan, kita sepatutnya hanya ada satu aliran sekolah
sahaja. Sepatutnya kita hapuskan sekolah jenis kebangsaan (SJK).
"Hapuskan oleh kerana Perlembagaan tak iktiraf sekolah jenis
kebangsaan kerana adanya sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan, adanya
sekolah Cina, India, ia memecah-belahkan rakyat," kata beliau.
Sejurus kenyataan kontroversi itu, parti pembangkang Pakatan Rakyat
(PR) mengecam kenyataan tidak bertanggungjawab itu dan menegaskan
Perlembagaan Persekutuan melindungi sekolah vernakular dan pendidikan
dalam bahasa ibunda, memetik Perkara 152 (1) (a) dan (b) dalam
undang-undang tertinggi negara.
PR juga mengkritik dan mengecam kedua-dua individu tersebut kerana
dilihat cuba mencetuskan ketegangan antara masyarakat Cina dan Melayu di
dalam negara.
Semalam,Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak cadangan
supaya sekolah vernakular dimansuhkan sebaliknya menggesa Putrajaya
menfokuskan kepada perpaduan kebangsaan.
Malah, Pengerusi DAP Karpal Singh pada 15 Mei lalu membuat satu
laporan polis ke atas Mohd Noor yang juga merupakan salah seorang panel
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kenyataan berbentuk
hasutan tersebut dan menggesa Pejabat Peguam Negara mengambil tindakan.
Barisan Nasional (BN) menang tipis pada 5 Mei dengan hanya 133 kerusi
Parlimen berbanding 89 kerusi oleh PR lebih rendah daripada 140 kerusi
yang mereka menangi dalam Pilihan Raya 2008.
Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mencadangkan “tsunami Cina”
menyebabkan BN mendapat keputusan pilihan raya terburuk dalam sejarah.
Utusan Malaysia, akhbar dimiliki Umno, juga mencadangkan pengundi
Cina cuba melakukan provokasi kaum dengan mengundi menentang BN, dengan
satu tajuk muka hadapan akhbar itu berbunyi, “Apa lagi Cina Mahu?”.
Akhbar itu - dilihat bersekutu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan
pemimpin parti lain - secara konsisten berhujah undi menentang Umno yang
mengetuai BN sama dengan undi menentang Melayu.
Ini berlaku apabila secara faktanya parti PR, PAS dan PKR sebahagian besarnya ahlinya merupakan Melayu-Muslim.
DAP turut meletakkan calon Melayu dalam pilihan raya.
1 ulasan:
Kita harus melihat isu ini dari sudut positif dan bukannya hanya berpandukan kepada perspektif seseorang sahaja.
Ikutilah kupasa saya dalam,"Isu sekolah vernakular : kemana haluan SJK Cina "
http://hisemudinkasim.blogspot.com/2013/06/isu-sekolah-vernakular-ke-mana-haluan.html
Catat Ulasan