Chor Chee Heung
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung
 
KUALA LUMPUR - MCA hari ini menggesa Indonesia meratifikasikan Perjanjian Asean Menganai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan bagi menyelesaikan masalah jerebu yang memberi kesan teruk terhadap Malaysia dan Singapura.
  
Naib presiden dan pengerusi Biro Antarabangsa MCA Datuk Seri Chor Chee Heung berkata Indonesia adalah satu-satunya negara yang enggan mengesahkan perjanjian itu.
  
Beliau juga menggesa kerajaan Indonesia mengambil tindakan terhadap semua syarikat yang melanggar undang-undang alam sekitar di republik itu.
  
Daripada melemparkan tuduhan terhadap jirannya, lebih baiklah Indonesia menerima tawaran Malaysia dan Singapura untuk membantunya memadamkan kebakaran terbuka di negara itu, katanya dalam kenyataan di sini.
  
Selain Singapura, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga menawarkan penggunaan pesawat Malaysia untuk melakukan pengeboman air di kawasan terjejas.

Sementara itu, Gabungan Dewan-dewan Perniagan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) menggesa kerajaan Indonesia supaya mengambil tindakan undang-undang dan penguatkuasaan lebih tegas terhadap syarikat perladangan yang melakukan kegiatan tebang dan bakar.
  
"Bagi masyarakat tradisional di Sumatera, termasuk Riau, yang terlibat dengan kegiatan itu, kerajaan Indonesia perlu menyedarkan mereka bahawa perbuatan mereka itu berbahaya serta mencari kaedah alternatif untuk mereka gunakan bagi membersihkan tanah masing-masing," katanya dalam satu kenyataan.
  
ACCCIM juga menggesa kerajaan Malaysia supaya mengambil pendirian tegas dan memaklumkannya kepada Indonesia bagi menyelesaikan masalah ini secara muktamad.  

ACCCIM turut mengutus sepucuk surat kepada duta besar Indonesia ke Malaysia Herman Prayitno berhubung perkara itu. - Bernama