KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi di sini hari ini
memerintahkan Perwaja Steel Sdn Bhd membayar RM146.139 juta kepada
Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berhubung kegagalan membayar
bekalan gas di Kemaman, Terengganu.
Hakim P.Nallini, yang
membenarkan permohonan Petronas untuk penghakiman ringkas dalam kamar,
juga memerintahkan Perwaja membayar faedah pasca penghakiman empat
peratus setahun sehingga tarikh penyelesaian dan kos RM20,000.
Nallini
juga menolak tuntutan balas Perwaja atas alasan peruntukan dalam Akta
Persaingan 2010 tidak boleh digunapakai dalam kes sekarang. Dalam
penghakiman bertulis 47 halaman, Nallini berkata tidak ada isu
berbangkit yang perlu dibicarakan.
"Dalam permohonan itu saya
mendapati tiada isu-isu serius untuk dibicarakan. Saya membuat
kesimpulan bahawa penyusunan interim masih sah dan wujud melepasi 29 Jan
2012. Ia masih boleh terus diguna pakai," katanya.
Nallini juga berkata latar belakang fakta kes ini tidak rumit sehingga memerlukan testimoni lisan.
"Ia
adalah semata-mata tuntutan untuk hutang yang kena dibayar dan
terhutang untuk bekalan gas kering, bekalan yang tidak dipertikai,"
katanya.
Petronas memfailkan saman terhadap Perwaja Steel pada
18 Jan berhubung kegagalan syarikat pengeluar keluli itu menjelaskan
bayaran bagi gas yang dibekalkan ke lojinya di Kemaman, Terengganu.
Dalam
pernyataan tuntutannya, Petronas menuntut RM146.139 juta sehingga 31
Dis 2012, faedah berjumlah RM10.313 juta sehingga 10 Jan tahun ini
selain faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. —
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan