Selasa, 4 Jun 2013

Laporan portal berita adil, kata CIJ pada menteri


MALAYSIA KINI


 
Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) berpandangan, pertimbangan untuk mengawal media atas talian lebih kepada usaha untuk "menyekat perbezaan pendapat" daripada mengawal kualiti laporan.

Memetik kajian pemantauan media oleh Universiti Nottingham, badan itu berkata, media atas talian "menunjukkan prestasi terbaik" berbanding media cetak dan penyiaran yang dikawal.

Malah, menurut CIJ lagi dalam kenyataannya hari ini, sifat media atas talian yang tidak dikawal itu memberikan liputan dengan jumlah dan kualiti yang lebih kurang sama untuk BN dan Pakatan Rakyat.

Ini berdasarkan pemantauan yang dibuat semasa masa berkempen dalam pilihan raya umum ke-13 yang lalu, kata NGO itu.

"CIJ percaya, faktor penyumbang utama bahawa media atas talian - tidak seperti media lain - tidak dikawal oleh kerajaan dan mempunyai lebih ruang untuk mengamalkan laporan bebas dan adil," kata CIJ.

Menteri komunikasi dan multimedia yang baru Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam berkata, kerajaan sedang menimbang untuk mengawal portal berita seperti yang dilaksanakan Singapura.

Ahmad Shabery berkata kerajaan sedang menjalankan kajian untuk membolehkan pelaksanaannya tidak bertentangan dengan prinsip sedia ada.

Tiada ulasan: