PETALING JAYA : Keluarga C.Sugumar, yang didakwa mati di dalam kawalan polis lima bulan dahulu, akan bertindak untuk mengambilbalik mayat anak mereka yang masih disimpan oleh di Hospital Serdang jika Kerajaan Persekutuan tidak melakukan bedah siasat kedua dalam tempoh 48 jam.
Bapa saudaranya, A. Kuppusamy berkata, keluarga mendiang telah menunggu selama 136 hari bagi
mendapat keadilan dengan menuntut bedah siasat kali kedua tetapi tuntutan itu didakwa digagalkan dengan campur tangan Perdana Menteri sendiri.
“Saya dan ahli keluarga akan meneruskan pengebumian mendiang dan Kerajaan Pusat akan tanggung akibatnya,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.
Dalam satu kejadian pada petang 23 Januari lalu, Sugumar, 40, seorang pegawai keselamatan, ditemui mati dalam keadaan digari serta mukanya dilumur serbuk kunyit.
Bedah siasat Hospital Serdang berkata punca kematiannya akibat sakit jantung namun ini ditolak keluarga mendiang kerana tiga orang saksi yang berada di tempat kejadian mendakwa melihat mendiang dikejar dan dipukul oleh polis.
Beberapa protes yang dilakukan sebelum ini akhirnya menyebabkan Kementerian Kesihatan bersetuju untuk membenarkan ahli patologi daripada Thailand, Dr Pornthip Rajasunan untuk melakukan bedah siasat kali kedua.
Bagaimanapun, pada Februari 2013, Dr Porthip mendedahkan bahawa beliau tidak dapat melakukan bedah siasat itu kerana campur tangan daripada Kerajaan Malaysia dan Thailand.
Sebelum ini, MP Padang Seri N Surendran mendedahkan Dr Pornthip bertindak sedemikian selepas Datuk Seri Najib Razak menghubungi Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra.
Surendran juga mendakwa Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kesihatan menzalimi keluarga mendiang dengan menyatakan bedah siasat kedua memerlukan surat kebenaran daripada mahkamah.
Dakwanya, tiada peruntukan dalam undang-undang di negara ini yang menyatakan bahawa surat kebenaran mahkamah diperlukan bagi tujuan bedah siasat kedua.
“Kenapa minta surat kebenaran mahkamah sedangkan undang-undang tidak memperuntukkan sedemikian untuk melakukan bedah siasat kedua?” soal Surendran yang juga hadir pada sidang media itu.
Turut hadir pada sidang media itu MP Subang, Sivarasa Rasiah dan peguam keluarga mendiang, Latheefa Koya.
Jesteru itu, Surendran mendesak agar Najib membenarkan Dr Pornthip datang ke negara ini atau membenarkan ahli patologi tempatan di Hospital Kuala Lumpur atau Hospital Universiti Malaya melakukan bedah siasat kedua ke atas mayat mendiang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan