KEADILAN DAILY
KENYATAAN MEDIA TIMBALAN PRESIDEN KEADILAN, AZMIN ALIPengumuman Dato’ Sri Najib Tun Razak untuk memindahkan kawal selia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah kuasa dan kawal selia sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen menandakan kemenangan awal KEADILAN dalam menuntut reformasi pilihan raya.
Malah, pengumuman tersebut membuktikan bahawa Kerajaan mengakui wujudnya penipuan dan kelemahan dalam proses pilihan raya di Malaysia.
KEADILAN sekali lagi menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengembalikan kepercayaan awam, memulihkan kredibiliti serta wibawa sebagai sebuah badan bebas yang menjadi tonggak kepada sebuah negara yang demokratik.
Sebagai langkah permulaan, selaras dengan usul di Kongres Nasional Tahunan ke 9 Parti Keadilan Rakyat pada 25 Mei 2013 yang lalu, KEADILAN kekal menuntut agar Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR segera meletakkan jawatan demi memulihkan kredibiliti dan reputasi SPR sebagai sebuah entiti demokrasi.
Perkara 113 dan 114 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menggariskan pembentukan SPR. SPR bukanlah sebuah agensi ataupun jabatan Kerajaan dan tidak boleh menjadi alat kepada mana – mana parti politik.
Oleh kerana itu, KEADILAN bersama – sama badan bukan kerajaan (NGO) termasuk BERSIH menggesa agar kawal selia SPR tidak boleh diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Sungguhpun begitu adalah penting pengumuman Perdana Menteri bukanlah sekadar ‘public relations exercise’ semata-mata. Saya menuntut supaya cadangan pembentukan Jawatankuasa Khas hendaklah dihalusi dengan pelbagai pihak atau stakeholders dan memberikan terma rujukan yang luas dan holistik supaya jawatankuasa yang dibentuk dapat melaksanakan reformasi pilihan raya secara efektif.
Sementara itu, saya turut menyarankan agar suatu badan bebas ditubuhkan di bawah bidang kuasa parlimen bagi mengambil alih peranan SPR untuk membuat syor – syor terhadap urusan persempadanan semula bahagian – bahagian pilihan raya.
Cadangan ini adalah bagi memastikan tidak berlakunya conflict of interest dan penyalahgunaan kuasa serta menjamin tugas dan peranan SPR yang lebih efektif dan bertanggungjawab dalam pengurusan perlaksanaan pilihan raya.
Penubuhan badan bebas ini penting supaya persempadanan semula bahagian – bahagian pilihan raya ini dilaksanakan dengan asas dan kriteria – kriteria yang jelas termasuk mengambil kira kriteria electoral quota and 5 % rule, geographical size, special geographical consideration, local government boundaries, boundaries of existing constituencies and local ties.
Perihal ini adalah untuk memastikan syor – syor yang dibuat berpaksi kepada prinsip yang adil dengan landas sistem demokrasi berperwakilan.
Ternyata sebuah reformasi besar harus digerakkan bagi memastikan cita – cita melaksanakan sebuah pilihan raya yang bebas dan adil terlaksana. KEADILAN bertegas bahawa institusi kenegaraan dan demokrasi di negara ini perlu dipulihkan. Moga kemenangan ini menjadi suatu anjakan yang akan membawa kemajuan politik di Malaysia.
Mohamed Azmin bin Ali
Tiada ulasan:
Catat Ulasan