Sabtu, 8 Jun 2013

Karpal: Penyertaan PSM perlu dikaji

SINAR HARIAN

Karpal Singh
Karpal Singh
 
GEORGETOWN - Permohonan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk menyertai Pakatan Rakyat perlu diberi pertimbangan dengan sebaik-baiknya, kata pengerusi DAP Karpal Singh.
  
Beliau berkata sistem dua parti patut diamalkan di Malaysia dan ini hanya boleh dicapai sekiranya PSM turut menganggotai Pakatan Rakyat.
  
"Apabila Anggota Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar bertanding atas tiket PKR (pada PRU13) baru-baru ini, ia jelas menunjukkan bahawa PSM menganggap PKR sebagai sekutunya," katanya pada sidang media di sini hari ini.
  
Karpal juga berkata beliau tidak tahu menahu dan oleh itu terkejut dengan kenyataan setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution bahawa permohonan PSM untuk menyertai Pakatan Rakyat telah ditolak.
  
"Saya rasa itu bukan pendirian Pakatan. Saya tidak tahu mengenainya," kata beliau.
  
Semalam, portal berita The Star Online melaporkan bahawa permohonan PSM untuk menyertai Pakatan Rakyat dikatakan ditolak parti komponen gabungan pembangkang itu.
  
Saifuddin dilaporkan berkata pakatan pembangkang telah membincangkan permohonan PSM itu sebelum PRU13 dan membuat keputusan negatif mengenainya. - Bernama

Tiada ulasan: