Bung Mokhtar Radin
Bung Mokhtar Radin
 
KUALA LUMPUR - Tindakan sesetengah pihak yang seolah-olah memperlekeh dan tidak menghormati institusi diraja menghangatkan Dewan Rakyat hari ini, sehingga ada yang mencadangkan akta khusus diwujudkan bagi membolehkan tindakan diambil sebagai pengajaran kepada mereka yang bersalah.
  
Cadangan itu disuarakan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang penuh bersemangat menggesa akta khas digubal agar tindakan tegas, termasuk hukuman penjara, dikenakan terhadap mereka yang didapati menghina institusi diraja.
  
"Saya cadang diwujudkan Akta Derhaka supaya tindakan boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong...mana-mana orang yang menghina kenakan hukuman tegas termasuk dipenjara," katanya ketika mencelah perbahasan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
  
Shamsul Anuar ketika itu berucap mencadangkan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Parlimen ke-13 semalam.
  
Menurut Bung Moktar, perkara itu telah diamalkan di Thailand terhadap rakyatnya mahupun orang luar yang menghina institusi diraja dengan mengenakan hukuman penjara.

Turut mencelah, Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang menegaskan semua pihak perlu menghormati raja dan mencadangkan supaya tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang melakukan sebaliknya.
  
Bersetuju dengan pandangan Bung Moktar, Shamsul Anuar menggesa kerajaan mengkaji cadangan mewujudkan undang-undang baharu atau bertindak mengukuhkan undang-undang sedia ada bagi menghalang mana-mana pihak daripada melakukan sebarang tindakan yang boleh meruntuhkan institusi tertinggi negara itu.
  
Beliau turut mencadangkan undang-undang penyalahgunaan media sosial dipertimbangkan termasuk mengemas kini peruntukan sedia ada bagi meletakkan sikap kebertanggungjawaban rakyat terhadap kebebasan bersuara yang didokong negara.
  
"Institusi diraja adalah tonggak yang perlu dihormati dan tidak kira fahaman politik, kaum atau agama, ia adalah lanjutan pemerintahan diraja yang diwariskan dengan konsep raja berperlembagaan dan melalui sistem itu telah berjaya meletakkan negara di tempat yang tinggi.
  
"Institusi ini bagaimanapun dikritik golongan tertentu kononnya atas nama demokrasi dan kebebasan bersuara dan ini tidak boleh diterima sama sekali," katanya.

Menjurus perhatian mengenai penahanan dua individu berikutan kenyataan menyindir Yang di-Pertuan Agong awal bulan ini, Shamsul Anuar turut membidas tindakan mengheret institusi diraja ke kancah politik dan emosi, dengan menyifatkannya sebagai contoh penghinaan terhadap institusi diraja.
  
Dalam pada itu, hujah sinis Shamsul Anuar yang menyentuh kenyataan beberapa anggota Parlimen yang dilaporkan seolah-olah tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong semalam, menyebabkan sesi perbahasan beberapa kali terganggu apabila beberapa anggota pembangkang bangun membantah sehingga berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua belah pihak.
  
Tian Chua (PKR-Batu) dan Haniffa Maidin (Pas-Sepang) antara yang berulang-kali bangun menolak kenyataan Shamsul Anuar yang disifatkan sebagai "kenyataan jahat".
  
Kekecohan itu menyebabkan beberapa anggota Parlimen hilang kawalan sehingga ada yang melontarkan kata-kata kesat menyebabkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee terpaksa mengingatkan mereka supaya tidak mengulangi ungkapan yang dilontarkan. - Bernama