IPU Muar tahap tidak sihat
Pandangan masjid kedua Muar diselubungi kabus jerebu sejak empat hari lalu.
 
KUALA LUMPUR - Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Muar, kawasan yang diisytihar darurat hari ini, menunjukkan penurunan dengan bacaan 690 setakat pukul 11 pagi ini, berbanding bacaan 746 yang direkodkan pada 7 pagi.
  
Jabatan Alam Sekitar menerusi laman sesawangnya melaporkan Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai di Melaka yang sebelum ini mencatat IPU berbahaya iaitu masing-masing 357 dan 334, kini semakin meningkat dengan bacaan 415 dan 428.
  
Sebanyak 17 kawasan mencatat IPU tidak sihat, 30 sederhana dan dua lagi dikategorikan baik.
  
Negeri yang mencatat IPU tidak sihat termasuk di ibu negara, Putrajaya, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor. Dua kawasan yang dikategorikan sebagai baik ialah Sandakan dan Tawau di Sabah.

IPU di kawasan Batu Muda dan Cheras di Kuala Lumpur yang sebelum ini masing-masing mencatat 97 dan 102, meningkat ke 108 dan 111 pada pukul 11 pagi.

Semua kawasan di Selangor iaitu Banting (115), Kuala Selangor (104), Pelabuhan Kelang (192), Petaling Jaya (125) dan Shah Alam (112) turut menunjukkan peningkatan IPU berbanding bacaan pukul 7 pagi.
  
Berdasarkan indeks kualiti, bacaan antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.
  
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan tiada hujan hari ini di dua negeri yang terjejas teruk dengan bencana jerebu iaitu Melaka dan Johor.  - Bernama