Jabatan Meteorologi Malaysia
Jabatan Meteorologi Malaysia
 
KUALA LUMPUR - Ramalan hujan di beberapa negeri di Semenanjung sehingga awal malam ini dijangka akan terus membantu meningkatkan kualiti udara yang terjejas akibat fenomena jerebu.
  
Jabatan Meteorologi dalam kenyataan hari ini berkata hujan diramal akan berlaku di Johor, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Pahang dan ia dijangka berterusan sehingga awal malam.
  
"Keadaan angin perlahan yang berlaku semalam telah menggalakkan proses pembentukan awan serta hujan turun di kebanyakan tempat di negeri Johor, Selangor dan Perak.
  
"Keadaan angin yang sama juga diperhatikan berlaku hari ini serta cuaca sama dijangka berterusan sehingga Jumaat (28 Jun)," menurut kenyataan itu.
  
Hujan juga dijangka berlaku Jumaat ini di kawasan pantai Pulau Pinang, Kedah dan Perak pada sebelah pagi.
  
Pada Jumaat petang, hujan dijangka berlaku di kawasan pedalaman pantai barat Semenanjung terutamanya di Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang; Bahagian Bintulu, Miri dan Limbang di Sarawak.
  
Sementara di Sabah hujan dijangka melanda Bahagian Pantai Barat, kawasan pedalaman dan Sandakan.
  
Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kebanyakan kawasan seluruh negara terus mencatatkan penurunan setakat 11 pagi.
  
Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) hanya terdapat sembilan kawasan mencatat IPU di paras tidak sihat, 37 kawasan mencatat paras sederhana dan empat kawasan mencatat paras bacaan baik. - Bernama