Tan Sri Pandikar Amin Mulia
Tan Sri Pandikar Amin Mulia
 
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen yang tidak hadir pada hari pertama tanpa sebab munasabah dianggap sebagai penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat serta negara ini.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, kehadiran hari pertama pada sesi Parlimen adalah penting kerana mengikut peraturan mesyuarat, akan diadakan pelantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Menurutnya, semua ahli Parlimen perlu mengikut lima peraturan mesyuarat dan hanya surat pengesahan (sebab) boleh diterima jika gagal hadir.

"Jika mereka tidak mengikut peraturan pertama, bagaimana mahu yang seterusnya? Alasan memboikot tidak boleh diterima sama sekali dan menurut Akta 59, mana-mana ahli Parlimen tidak mengangkat sumpah dalam tempoh enam bulan, mandat sebagai ahli Parlimen akan digugurkan secara automatik.

"Pada pendapat saya, jika ada mana-mana yang tidak hadir, pastilah ada sebab tertentu dan bukannya boikot," katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis taklimat kepada ahli-ahli Dewan Rakyat Parlimen Ke-13, di sini, pagi ini.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan hanya seorang seorang ahli Parlimen pembangkang hadir ke sesi taklimat Dewan Rakyat hari ini.

Daripada 89 ahli Parlimen PR kesemuanya, hanya ahli Parlimen Bakri dari DAP, Er Teck Hwa yang hadir ke sesi berkenaan.

"Kita mengamalkan demokrasi. Orang yang datang, datang. Yang tidak datang, tidak datang.

"Saya menganggap semua yang tidak hadir mempunyai alasan mereka tersendiri dan bukan untuk memboikot," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurut Pandikar, kehadiran pada majlis taklimat ini bukanlah suatu yang diwajibkan.

"Ini (sesi) adalah untuk ahli Parlimen yang baru. Bagi yang senior, mereka akan hadir jika mereka menghormati tempat di mana mereka bekerja. Tetapi kita faham yang ada sesetengah daripada mereka mempunyai alasan kenapa mereka tidak datang," katanya lagi.

Tambah Pandikar, mereka yang tidak hadir akan menimbulkan masalah di kemudian hari di mana ahli Parlimen perlu mengambil tempahan untuk baju uniform serta memohon kad pengenalan ahli Parlimen.