Khamis, 20 Jun 2013

Himpunan Sabtu: Polis diingat jangan sukarkan tuntutan rakyat

KEADILAN DAILY

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor membuat ketetapan untuk mengambil bahagian dalam Himpunan Black 505 yang akan berlangsung pada 22 Jun ini di Padang Merbok, Kuala Lumpur serta meminta Polis Diraja Malaysia tidak menyukarkan proses rakyat menuntut hak.

AMK Selangor sudah memulakan mobilisasi besar-besaran di seluruh Selangor dan akan terus melaksanakan penerangan agar Himpunan Black 505 nanti dihadiri ratusan ribu rakyat terutama anak muda sebagai tanda bantahan atas penipuan pilihan raya umum yang berlaku pada 5 Mei lalu.

rakyat

AMK Selangor bertegas bahawa ruang berhimpun ini adalah sesuatu yang harus dibenarkan dalam sebuah negara demokrasi, dan suara anak muda tidak seharusnya disekat demi kepentingan golongan penipu seperti Barisan Nasional.

AMK Selangor melihat kebangkitan anak muda hari ini tidak lagi berpaksikan atas bendera parti atau mana-mana pertubuhan tetapi atas semangat cintakan tanah air dan melakukan perubahan.

Rakyat tidak lagi melihat Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai pelindung hak demokrasi mereka. Oleh itu wajar Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR segera meletakkan jawatan dan bertanggungjawab atas kegagalan melaksanakan pilihan raya secara telus.

Justeru AMK Selangor menyeru anak muda semua bangsa yang cintakan tanah air untuk turut sama melakar sejarah negara ini. Turunlah ke Himpunan Blackout 505 dengan berbaju hitam dan dengan disiplin yang tinggi kerana matlamat kita hanyalah semata-mata meletakkan reformasi menyeluruh sebagai nafas baru demokrasi.

Azmizam Zaman Huri
Ketua AMK Selangor
Naib Ketua AMK Malaysia

Tiada ulasan: