Oleh Azwan Rahman
KUALA LUMPUR: Ketua Biro Keselamatan, Imigresen dan Reformasi
Pilihan Raya KEADILAN, Dr Chong Eng Leong mengingatkan kerajaan Sabah
supaya tidak menyalahgunakuasa menghalang mana-mana ahli politik dari
memasuki negeri itu.
Mengecam halangan Pejabat Ketua Menteri Sabah terhadap pemimpin
Pakatan Rakyat masuk ke negeri itu, beliau mendesak arahan berkenaan
yang disifatkan ‘tidak masuk akal’ segera dihentikan.
"Menghalang
wakil rakyat yang dipilih secara sah dari memasuki Sabah membuktikan
betapa tenatnya demokrasi di bawah Barisan Nasional Sabah,” kata Chong
Eng kepada Keadilan Daily.
Sedangkan katanya, Seksyen 67 Akta Imigresen jelas mengatakan setiap
warganegara berhak melawat Sabah untuk menjalankan aktiviti politik yang
sah.
“Halangan ke atas mana-mana Ahli Parlimen yang bertindak sebagai
pembuat dasar dan penggubal undang-undang di negara ini dari memasuki
Sabah jelas tidak rasional dan tidak masuk akal,” tegasnya.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri
Anwar Ibrahim antara lima pemimpin Pakatan yang dilarang memasuki Sabah
sebagaimana satu surat dari pejabat Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman
kepada Pengarah Jabatan Imigresen negeri bertarikh 21 Mei lalu.
Turut dihalang Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli
Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S Ambiga.
Surat itu bagaimanapun tidak menyatakan sampai bila mereka dilarang memasuki negeri itu.
Nurul Izzah dihalang masuk ke Sabah ketika tiba di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) untuk menghadiri sambutan Hari
Kaamatan anjuran KEADILAN Negeri.
Beliau turut dinafikan hak bertemu peguam, Darrel Leiking, yang juga
Ahli Parlimen Penampang yang menunggu di balai ketibaan KKIA.
Sekatan ke atas Naib Presiden KEADILAN itu bagaimanapaun ditarik balik semalam dipercayai akibat desakan pemimpin Pakatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan