Oleh: Mohd Arif Juhaini
KUALA LUMPUR : Tindakan Barisan Nasional (BN) untuk memfailkan lebih 50 petisyen di kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bukti parti itu sendiri tidak percaya kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Secara tidak langsung, ujarnya, tindakan Umno BN itu ibarat ‘meludah ke langit’ kerana mereka sebelum ini bersungguh-sungguh mempertahankan ketelusan SPR.
“Tetapi sekarang, Umno BN pun tidak percayakan kepada SPR. SPR harus ingat inilah padahnya apabila cuba mengkhianati amanah yang rakyat berikan untuk menikmati proses demokrasi pilihan raya yang bersih dan adil,” ujarnya ketika dihubungi.
Beliau berkata, tindakan itu juga mengesahkan dakwaan Pakatan Rakyat bahawa memang wujud kelemahan dan kecurangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.
“Ini beban baru SPR yang perlu mereka jawab selepas Pakatan berjaya membuktikan segala kecurangan yang wujud dalam pelbagai segi, seperti senarai daftar pemilih, isu dakwat kekal, blackout semasa pengiraan undi dan sebagainya,” ujar Saifuddin.
Tegasnya, mana-mana parti politik hanya akan memfailkan petisyen selepas meragui keputusan pilihan raya yang dikendalikan badan seperti SPR.
“Jadi tindakan Umno BN ini akan memalukan SPR sebagai badan bertanggungjawab yang sebelum ini kerap kali mendakwa melaksanakan amanah dengan telus dan adil baik sebelum, semasa dan selepas pilihan raya,”.
“Kalau sebelum ini, SPR sekadar mencuci tangan sahaja dengan memberikan pelbagai alasan dangkal apabila Pakatan kemukakan bukti kecurangan, sekarang mereka tidak boleh ambil ringan lagi bukti yang rakyat berikan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan