Setelah PKR melantik Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution sebagai pegawai perhubungan politik kerajaan Selangor, DAP dan PAS juga akan mengambil langkah sama.

DAP mencadangkan naib pengerusi Kebangsaannya Teresa Kok sebagai pegawai perhubungan politik kerajaan Selangor manakala PAS masih mencari calon yang sesuai.

Dalam kenyataannya hari ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata cadangan untuk melantik Teresa kerana DAP rakan kongsi sekata dalam kerajaan Pakatan Rakyat.

Sementara itu, PAS Selangor pula akan membincangkan calon mereka dalam mesyuarat Badan perhubungan negerinya minggu depan, kata Pesuruhjaya PAS Dr Abd Rani Othman melalui SMS.

Manakala timbalannya Iskandar Samad pula memberitahu Malaysiakini, pihaknya juga akan bertemu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi membincang perkara sama.