Ahad, 2 Jun 2013

Cadangan SPR bawah Parlimen ulangi JK sebelum ini

Abdul Aziz Mustapha,


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) menyifatkan rancangan Perdana Menteri untuk meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebagai pengakuan memang wujud penipuan pilihan raya.

"Meletakkan SPR di bawah jawatankuasa itu hanya lakonan semata-mata untuk menyelamatkan suruhanjaya itu," katanya.

Salahuddin berkata, sebelum ini Pakatan Rakyat bersifat terbuka dan menyertai Jawatankuasa Khas Parlimen berhubung pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini.

"Jawatankuasa tersebut dicadangkan oleh pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) sendiri.

"Pakatan hantar Dr Hatta Ramli dari PAS, Azmin Ali dari PKR dan Anthony Loke dari DAP sebagai tiga wakil kita dalam jawatankuasa itu.

"Akhirnya terbukti, tidak ada satu pun cadangan jawatankuasa itu yang dilaksanakan," kata beliau.

Salahuddin yakin, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan rancangan itu semata-mata untuk melaksanakan "damage control" apabila melihat semakin ramai rakyat yang menyambut slogan "tipu pilihan raya, turun jalan raya".

Semakin ramai rakyat yang menyifatkan kerajaan minoriti dengan hanya 47.38 peratus undi pimpinan Najib sebagai kerajaan tipu pilihan raya, katanya.

"Bukan itu sahaja, perhimpunan ratusan ribu rakyat menolak pilihan raya yang dikotori oleh penipuan menakutkan para pemimpin Umno BN.

"Sebab itulah Najib umumkan rancangan yang belum tentu dilaksanakan dan belum tentu dipersetujui oleh 'warlord-warlord' Umno atau 'godfather' mereka, (Tun) Dr Mahathir (Mohamad)," kata beliau.

Oleh kerana PAS menyifatkan pengumuman Najib itu hanyalah pengakuan bahawa memang berlaku penipuan dalam pilihan raya, Salahuddin menuntut supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat penipuan-penipuan pilihan raya.

"Tuntutan sebegini sudah lama dibuat dan keengganan kerajaan BN menunaikan tuntutan itu menguatkan keyakinan rakyat bahawa ada terlalu banyak penipuan dan penyelewengan yang hendak disembunyikan," kata beliau.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli sebelum ini memberitahu, pihaknya menerima pelbagai aduan penipuan dalam pilihan raya.

Mengenai kes lampu padam ketika pengiraan undi, selain beberapa laporan polis mengenai kejadian itu di sana sini, beliau berkata pihaknya menerima tujuh aduan mengenai kejadian tersebut.

Bukan setakat itu sahaja, kata Rafizi, pihaknya juga menerima aduan tentang warga asing yang turut mengundi, pengundi berdaftar yang tidak dapat pengundi kerana ada pengundi hantu mengundi menggunakan namanya, jumlah undi yang lebih daripada kertas undi yang dikeluarkan dan pelbagai aduan lain

Tiada ulasan: