Sabtu, 1 Jun 2013

Cadangan parti tunggal BN ‘tidak praktikal’ kata wartawan veteran


Bahasa

Oleh Mohd Farhan Darwis

Bekas editor NST A. Kadir Jasin berpendapat bahawa Perdana Menteri Najib Razak tidak mungkin dapat memujuk akar umbi Umno menerima idea BN sebagai parti tunggal. - Gambar failKUALA LUMPUR — Cadangan menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai parti tunggal tanpa parti komponen daripada kaum lain, jelas Datuk A. Kadir Jasin, adalah tidak praktikal dan akan ditolak akar umbi parti berteraskan Melayu itu.

Bekas editor di akhbar berbahasa Inggeris New Straits Times (NST) itu dalam blognya berkata hanya parti komponen BN majoriti Cina yang “nazak” seperti Gerakan, MCA dan SUPP yang akan menimbangkan cadangan itu.

“Presiden Umno, Mohd Najib Abdul Razak, mungkin boleh “memujuk” kepemimpinan Umno untuk melayan (entertain) idea ini, tetapi saya tidak menjangka akar umbi Umno akan menerimanya. Umno adalah parti akar umbi!” kata A. Kadir dalam blognya, merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

A. Kadir turut mempersoalkan keputusan untuk menjadikan BN sebagai parti tunggal sedangkan Umno yang menjadi tulang belakang kepada perjuangan parti pemerintah itu diakui sendiri oleh Najib sebagai parti yang kuat.

“Saya tidaklah mahu membuat andaian yang Mohd Najib sekali lagi tunduk kepada kehendak orang Cina apatah lagi selepas beliau sendiri menyalahkan tsunami Cina sebagai punca ketidakcemerlangan prestasi beliau dalam PRU 5 Mei lalu,” katanya.

“Lagipun, seandainya Umno lebih kuat selepas PRU13 seperti Mohd Najib dakwa ketika mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam tadi, mengapa harus ia dibubarkan dan bergabung dengan parti lain menjadi sebuah parti tunggal?” soalnya.

Najib malam tadi selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata parti itu masih kuat apabila berjaya menambah bilangan kerusi Parlimen daripada 79 pada PRU12 2008 kepada 88 pada pilihan raya kali ini.

“Jika dibandingkan dengan pembangkang, mereka mempunyai 89 buah kerusi, bererti Umno sebagai parti tunggal boleh menyamai gabungan parti pembangkang yang terdiri daripada tiga parti tersebut (DAP, PKR dan PAS,” kata Najib kepada pemberita.

A. Kadir turut berkata, mengapa perlunya Umno dan parti-parti Bumiputera yang kukuh di Sarawak dan Sabah dibubarkan dan digabungkan menjadi parti tunggal semata-mata bagi melayan idea parti-parti Cina BN yang ditolak oleh orang Cina sendiri dalam PRU lalu.

“Kalau Umno dibubarkan bagi memberi laluan kepada penubuhan parti tunggal BN, kemungkinannya banyak ahli dan penyokongnya akan beralih kepada PAS kerana orang Melayu masih berasa mereka memerlukan parti Melayu-Islam,” katanya.

Pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn minggu lalu berkata cadangan penyatuan antara parti komponen seperti Gerakan, MCA, dan Parti Progresif Rakyat (PPP) tidak dapat dilaksanakan tanpa menjadikan BN parti tunggal kerana setiap parti komponen BN mempunyai Perlembagaan yang berbeza, dan berlandaskan kepada parti berteraskan kaum.

Mengulas perkara itu, A. Kadir menegaskan, masalah pokok BN bukan organisasi atau struktur, tetapi imej dan persepsi kepemimpinan BN yang negatif.

Perubahan struktur parti tanpa mengubah kualiti dan integriti kepemimpinan jelas A. Kadir tidak akan menjadikan BN lebih diyakini dan disokong oleh pengundi.

Justeru, beliau turut berkata; “Umno perlu membezakan yang mana satu pokok dan yang mana satu hutan belantara.”

Tiada ulasan: