Bomoh bebas tuduhan menipu
Sarawanan (kanan) memberi penerangan kepada Mabahwi di luar mahkamah.
 
SUNGAI BESAR – Seorang pengamal perubatan dibebaskan dan dilepaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Majistret Sungai Besar, di sini, atas kesalahan menipu seorang pekerja Syabas sebanyak RM24,840, tiga tahun lalu.

Majistret, Shah Wira Abdul Halim membuat keputusan membebaskan tertuduh, Mabahwi Ab Wahab, 60, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti kukuh terhadap kes itu yang berjalan sejak 2011.

Mabahwi yang bekerja kampung didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat menipu Mohd Zubir Awaludin, 52, di rumahnya di Lot 1817, Jalan Dungun, Kampung Baru, Sabak Bernam antara 15 Februari hingga 18 April 2010.

Mengikut fakta kes, Mohd Zubir diperkenalkan dengan Mabahwi untuk mengubati penyakit ibunya di Kampung Baru, Sabak Bernam.

Sejak diperkenalkan dengan tertuduh, Mohd Zubir mendakwa Mabahwi meletakkan beberapa syarat bagi mengubati penyakit ibunya itu termasuk memintanya mengeluarkan wang untuk diberi sebagai syarat perubatan.

Mohd Zubir mendakwa mengalami kerugian puluhan ribu ringgit kerana wang itu diberikan secara tunai dan dimasukkan ke akaun sebuah bank atas nama isteri tertuduh.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan penjara selama tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun atau dikenakan denda.

Perbicaraan kes itu dikendalikan, Pegawai Pendakwa, Inspektor Ganes Arumugam.

Mabahwi yang diwakili Peguam, M Sarawanan dalam perbicaraannya yang mengambil masa lebih dua tahun bersyukur dengan keputusan itu kerana ia secara tidak langsung berjaya membersihkan nama dan imejnya serta keluarganya.

“Keputusan ini membuktikan saya tidak bersalah dan berharap agar segala tohmahan atau fitnah terhadap saya dan keluarga ini dihentikan segera kerana kami terpaksa menanggung malu atas fitnah berat ini.

“Saya harap kami sekeluarga dapat menjalani kehidupan yang lebih baik di luar sana dan tidak mahu lagi mengenangkan kes ini kerana sudah 15 kali saya turun naik mengikuti prosiding mahkamah,” katanya.