Rabu, 5 Jun 2013

Boikot barang mahal

NORHAFIZA MUSA

Boikot barang mahal
Ahmad (dua, kanan) melawat gerai pada Karnival Usahawan Mega Peringkat Zon Timur 2013, di Kuala Terengganu, semalam.
 
KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menyarankan kepada orang ramai supaya memboikot kedai yang menjual makanan mahal bagi menyelesaikan masalah cekik darah di negeri ini.

Katanya, beliau selalu menerima rungutan daripada masyarakat tempatan dan pelancong mengenai harga makanan mahal.

Menurutnya, beliau sendiri pernah merancang untuk membina sebuah restoran yang menjual makanan dengan harga murah tetapi bimbang ia akan dianggap sebagai menjejas mata pencarian peniaga.

“Saya rimas dengan rungutan pelancong tentang makanan mahal di negeri ini.

"Sebab itu saya sarankan supaya jangan beli, tetapi masalahnya mereka beli juga,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan Mega Peringkat Zon Timur 2013 di Dataran Shahbandar, di sini, semalam.

Ahmad menasihatkan peniaga supaya jangan jual terlalu mahal kerana ia boleh menjejaskan imej negeri ini.

Katanya, ada segelintir peniaga mengambil kesempatan menjual dengan harga mahal apabila ramai pelancong datang di musim perayaan dan cuti sekolah.

“Sebab mahu untung cepat, mereka sanggup mengenakan harga yang tinggi dan tidak masuk akal. Makanan laut di luar Terengganu lebih murah berbanding negeri ini.

"Masalah ini bukan hanya terletak kepada peniaga sahaja, tetapi melibatkan orang tengah," katanya

Tiada ulasan: