KUALA LUMPUR - Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Muar, yang diisytiharkan kawasan darurat semalam terus menunjukan perkembangan positif dengan bacaan 148, setakat pukul 7 pagi ini, berbanding bacaan 507 yang direkodkan, pada 4 petang semalam.
  
Menurut laporan Jabatan Alam Sekitar hanya satu kawasan dikategorikan sebagai berbahaya iaitu Port Dickson, Negeri Sembilan dengan bacaan IPU 335.
  
Sementara itu dua kawasan masih mencatat bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu masing-masing di Bukit Rambai, Melaka, 260 dan di Kemaman, Terengganu, 249.
  
Sebanyak 19 kawasan mencatat IPU tidak sihat, 28 sederhana dan satu lagi dikategorikan baik.
  
Berdasarkan indeks kualiti, bacaan antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.  - Bernama