Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
 
PETALING JAYA – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kenyataan bahawa beliau tidak bertemu Datuk Seri Najib Tun Razak di Indonesia sebagaimana dilapor sebuah portal berita baru-baru ini.

Katanya, tidak ada keperluan baginya untuk bertemu Perdana Menteri secara rahsia, sebaliknya kunjungannya ke negara jiran itu adalah atas jemputan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

"Saya bertemu Presiden Susilo selama hampir satu setengah jam. Sudah tentu saya gembira bertemu dengan beliau dan berterima kasih kepadanya atas pengiktirafan (jemputan) itu," katanya, semalam.

Anwar berkata, beliau boleh bertemu Najib secara terbuka di Parlimen dan tidak ada keperluan bagi mereka untuk bertemu secara rahsia sama ada di Jakarta atau di London.

"Kami juga boleh bertemu di pejabat Perdana Menteri," katanya mengulas laporan portal itu yang antara lain menyebut, pertemuan mereka mungkin berlaku untuk bantu Najib mengelak usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat

selepas BN mencatatkan keputusan kurang meyakinkan pada PRU13. Ini juga dikaitkan kemungkinan Presiden Umno itu dicabar pada pemilihan parti hujung tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan ke Indonesia, menafikan laporan mengenai pertemuan itu. Najib ke Jakarta pada masa Anwar pula di Bali.

Ditanya mengenai kecaman sesetengah pihak terhadap tindakannya mengadu kepada Susilo mengenai keputusan PRU13 yang tidak berpihak kepada pembangkang dan didakwanya sebagai berunsur penipuan, Anwar berkata, bukanlah satu jenayah baginya untuk bertemu pemimpin dari negara lain.

"Beliau (Susilo) pula wakili negara demokratik," katanya.

Pada sidang media sama, Anwar mengecam polisi ekonomi negara dengan menyelar penubuhan Jawatan Kuasa Dasar Fiskal yang diumum Najib kelmarin, sebagai usaha untuk menekan rakyat.