Khamis, 9 Mei 2013

“Warga Pakistan, Myanmar Cuba Buang Undi Pakai MyKad”


petugas tangkap pengundi warga asing  03

PETALING JAYA  : Petugas pilihanraya Pakatan Rakyat yang ditemui di himpunan “Suara Rakyat Suara Keramat” semalam menceritakan bagaimana mereka menahan warga asing yang cuba menggunakan kad pengenalan palsu untuk mengundi pada PRU 13.

Seorang daripada petugas tersebut Tan Ooi Ngak mendakwa beliau dan petugas lain di pusat mengundi SK Taman Ria di DUN Bukit Selambau, Kedah berjaya mengesan warga Pakistan yang cuba membuang undi.

Tan, yang merupakan seorang petugas jentera tempat mengundi, berkata, warga Pakistan itu ditahan selepas tengahari ketika dia menghampiri pusat mengundi.

“Pemeriksaan mendapati dia adalah warga Pakistan. Dia diarahkan meninggalkan tempat mengundi dengan segera,” katanya ketika ditemui di Himpunan “Suara Rakyat Suara Keramat” pada Stadium Kelana Jaya di sini malam ini.
petugas tangkap pengundi warga asing  02

Tan mendedahkan perkara itu sambil menunjukkan gambar warga Pakistan berkenaan.

Manakala petugas Pas Johor Tajuddin Mohamad mendakwa beliau dan petugas lain berjaya menghalang warga Myanmar daripada membuang undi di SK Kluang Barat, Kluang di dalam  DUN Mahkota pada kira-kira 4 ptg.

“Bila diperiksa dia menunjukkan MyKad tetapi bila disuruh menyanyi Negaraku, dia gagal. Kita memberi amaran dan mengarahkan dia beredar dari situ,” kata Tajuddin.

Di samping itu, Tajuddin juga berkata proses kiraan undi di Dewan Sultan Ibrahim Shah pada petang itu amat mencurigakan apabila pegawai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) melambatkan pengumuman keputusan.

Beliau berkata pengiraan undi mendapati calon PR, Khairul Faizi memenangi DUN tersebut dengan majoriti lebih 900 undi.

Bagaimanapun, dakwanya, pengumuman pemenang yang sepatutnya dibuat, ditangguhkan dan petugas SPR mengumumkan masih terdapat undi pos yang belum dibawa masuk.

“Penangguhan hampir dua jam melibatkan pengiraan undi selesai lewat hingga hampir jam 1 pagi.

“Kita mempersoalkan perkara itu kerana ia terlalu lama seolah-olah menafikan kemenangan calon PR,” katanya ketika ditemui di Stadium Petaling Jaya di sini malam ini.

Dakwaan mereka adalah antara beberapa siri pendedahan mengenai insiden-insiden yang mencurigakan semasa hari pengundian yang menyebabkan Pakatan mempersoal kesahihan keputusan PRU 13.

Himpunan malam tadi dihadiri kira-kira 50,000 peserta dan pemimpin Pakatan bagi membantah penipuan yang didakwa berleluasa di dalam PRU 13 5 Mei lalu.

Tiada ulasan: