Khamis, 9 Mei 2013

Pakatan Akan Buru Semua Yang Terlibat Dalam Penipuan PRU 13.


himpunan suara rakyat kelana jaya 02

KELANA JAYA,: Pakatan Rakyat akan mencari semua yang terlibat di dalam penipuan semasa pengundian pada 5 Mei lalu termasuk Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang seleweng dan pemandu bas yang membawa pengundi ragu.

“Bermula minggu ini, saya dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat akan menumpukan setiap satu saat hidup kami untuk mencari pencuri-pencuri undi kita,” kata ketua siasatan itu, Rafizi Ramli.

Rafzi, yang baru dilantik untuk mengetuai jawatankuasa khas siasatan itu, berkata usaha ini akan membuktikan kepada semua pihak bahawa wujudnya beberapa insiden penipuan dan penyelewengan pada PRU-13.

“Kita aka cari Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menipu, kita akan kejar pemandu-pemandu bas yang bawa pengundi asing ke tempat kita.

“Kita akan tunjukkan bukti satu persatu mengapa kerajaan (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib wajar ditumbangkan kerana kerajaan haram,” katanya dalam ucapan di perhimpunan “Suara Rakyat Suara Keramat”

“Saya minta semua rakyat Malaysia yang sayangkan negara, yang tahu nilai keadilan, kita mesti tolak penyelewengan dan penipuan ini.

“Saya minta rakyat Malaysia membantu berikan bukti supaya kita cabar dia di mahkamah, di jalan, kita lawan mereka di Parlimen sampai menang,” katanya yang baru dinobatkan sebagai Ahli Parlimen Pandan.

Rafizi turut akan berkerjasama dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) serta parti komponen Pakatan Rakyat bagi mencari bukti berhubung penyelewengan ini.

Pakatan percaya bahawa proses pengundian dan kiraan undi pada 5 Mei lalu penuh dengan insiden penipuan seperti ejen calon yang dihalang daripada mengawal kotak undi awal dan penglibatan warga asing sebagai pengundi.

Tiada ulasan: