Ahad, 26 Mei 2013

SPRM: Kepimpinan baru TI-M akan bantu perangi rasuah

Oleh Md Izwan

KUALA LUMPUR— Ketua Pesuruhjaya Datuk Seri Abu Kassim Mohamed menyifatkan kepimpinan baru Transparency International Malaysia (TI-M) sebagai berpengalaman dan akan membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha memerangi rasuah.

Jumaat lalu, TI-M telah melantik barisan kepimpinan baru yang diketuai Datuk Akhbar Satar sebagai Presiden, Prof Datuk Mohamad Ali Hasan sebagai Timbalan Presiden, Dr Loi Kheng Min sebagai Setiausaha Agung dan Mohamed Raslan Abdul Rahman sebagai Bendahari.

Akhbar merupakan Presiden Persatuan Fraud Bertauliah Malaysia (Association of Certified Fraud Examiners, Malaysia Chapter) dan memegang jawatan Presiden sejak tahun 2003 sehingga kini serta merupakan salah seorang yang terawal dianugerahkan “Certified Fraud Examiner” di Malaysia.

“SPRM yakin barisan kepimpinan baharu ini, yang mempunyai pengalaman luas dalam soal membanteras rasuah, akan meneruskan kerjasama erat dengan SPRM dalam merangka pendekatan dan langkah-langkah berkesan bagi memerangi jenayah rasuah di negara ini,” kata Abu Kassim dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Abu Kassim lagi, SPRM berharap hubungan baik dengan TI-M semasa dijalin dibawah kepimpinan lama Datuk Paul Low dapat diteruskan terutamanya dalam memastikan merealisasikan harapan kerajaan dan rakyat dalam memerangi rasuah dan melahirkan masyarakat berintegriti.

“Inisiatif Integriti Pilihan Raya TI-M yang diperkenalkan ketika kepimpinan Low sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 merupakan antara pendekatan dinamik bagi mewujudkan strategi holistik bagi memerangi rasuah dalam jangka panjang.

“Justeru, SPRM yakin barisan kepimpinan baru akan mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama bagi mencari strategi baru memerangi rasuah,” tambah Abu Kassim lagi.

Bekas presiden TI-M, Low yang meletakkan jawatannya Jumaat lalu telah dilantik sebagai menteri di jabatan perdana menteri dibawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Pencapaian Indeks Persepsi Rasuah Malaysia menunjukkan peningkatan pada 2012 dengan berada di tangga ke-54 daripada 176 negara berbanding kedudukan ke-60 daripada 183 negara tahun lalu, menurut tinjauan terbaru TI-M.

Kedudukan itu juga menunjukkan skor CPI Malaysia pada kedudukan 49 daripada skala 0 hingga 100 berbanding 43 pada 2011. Malaysia juga kekal menjadi negara ketiga di rantau Asia Tenggara di belakang Brunei (2) dan Singapura (1).

Perlantikkan Low dibawah pentadbiran Najib merupakan antara langkah pemerintah untuk menonjolkan imej bersih serta membuktikan ketegasan dalam menangani isu rasuah yang berleluasa, malah keputusan pilihan raya umum ke-13 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) tewas undi popular buat kali pertama juga berpunca daripada isu rasuah yang terpalit.

Sejurus perlantikkan Low, parti pembangkang Pakatan Rakyat (PR) melancarkan serangan ke atas menteri tersebut serta mencabarnya mendedahkan laporan dan penilaian penuh terhadap Ikrar Integriti Pilihan Raya TI-M pada 20 Februari 2013 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengadakan tiga Suruhanjaya Inkuiri Diraja (RCI) melibatkan cadangan Perdamaian Kebangsaan, insiden 13 Mei 1969 serta tuduhan rasuah ke atas Tan Sri Taib Mahmud serta Datuk Seri Musa Aman, disamping membuka semula kes Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani.

Kedudukan Indeks Persepsi Rasuah Malaysia (CPI) menurun untuk beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun Malaysia bertambah baik pada tahun 2012 untuk menjadi negara ke-54, di dunia, indeks antarabangsa masih meletakkan Malaysia di bawah negara-negara Afrika seperti Rwanda (50) dan Botswana (30).

Tiada ulasan: