Ahad, 26 Mei 2013

Mustapa: PRU13 sudah berakhir, kini masa bekerja

THE MALAYSIAN INSIDER
 
 Mustapa berkata ceramah politik yang berterusan boleh menimbulkan kesan buruk terhadap masyarakat di samping menggalakkan berlaku perpecahan dalam masyarakat khususnya sesama umat Islam di negara ini. - Gambar fail KOTA BARU— Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed mengajak semua pemimpin yang dipilih pada pilihan raya umum ke-13 lalu bekerja dan memberi tumpuan kepada rakyat kerana pilihan raya sudah berakhir.

Katanya jika pemimpin masih leka bercakap di pentas politik, program pembangunan dan kebajikan rakyat yang dirancang tidak akan terlaksana.  

“Ini satu keadaan yang tidak sihat... rakyat sudah buat keputusan dan sekarang tumpu perhatian untuk membina minda masyarakat serta menyatupadukan semula masyarakat, “ katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama Kakitangan Pejabat Pelajaran Negeri (JPN) di sini, hari ini.

Mustapa berkata ceramah politik yang berterusan boleh menimbulkan kesan buruk terhadap masyarakat di  samping menggalakkan berlaku perpecahan dalam masyarakat khususnya sesama umat Islam di negara ini.   
“Kalau setiap hari kita berpolitik maka ini akan membuang masa dan merugikan negara kita serta boleh memecah belahkan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata pemimpin perlu bersama JPN memikirkan cara untuk meningkatkan prestasi pelajar di Kelantan selain  mengadakan program dakwah bagi memelihara akhlak pelajar.

“Banyak lagi perlu kita lakukan untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar di negeri ini. Di samping  kecemerlangan akademik, mereka juga perlu menjaga akhlak dan sahsiah diri,” katanya.

Mustapa berkata dari segi peratusan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam, majoritinya adalah pelajar dari Kelantan, tetapi pendekatan baru perlu diwujudkan bagi meningkatkan kejayaan mereka.

Katanya guru Pendidikan Islam perlu bergiat aktif bukan sahaja di sekolah tetapi juga perlu terlibat dalam program di luar sekolah bagi melahirkan masyarakat yang bersatu.

“Di Kelantan kita ada lebih kurang 3,000 orang guru Pendidikan Islam yang boleh menjadi nadi bagi menggerakkan  program-program dakwah bagi melahirkan masyarakat islam yang kuat kerana inilah sumber kekuatan kita, “ katanya. – Bernama 

Tiada ulasan: