Khamis, 9 Mei 2013

Pasca-PRU13: Abim gesa buang amalan politik rasis

Wartawan Sinar Harian

Amidi Abd Manan
Presiden ABIM, Amidi Abd Manan 
 
SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengecam sebarang bentuk provokasi dan kenyataan berbau perkauman yang diketengahkan semasa pasca-Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang baru sahaja berakhir.

Presidennya, Amidi Abd Manan berkata, penilaian terhadap kenyataan-kenyataan dikeluarkan sebelum ini seakan-akan menafikan suara dan aspirasi rakyat Malaysia secara keseluruhan melalui undi mereka pada pilihan raya yang baru selesai.

“PRU13 menyerlahkan hakikat bahawa trend ataupun pola pengundiaan kali ini tidak semata-mata dipengaruhi sentimen perkauman sempit.

“Sebaliknya, keputusan PRU13 ini menzahirkan sentimen seluruh rakyat Malaysia melangkaui ras perkauman semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, hakikat ini merujuk kepada fakta dan statistik Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) sendiri serta kesimpulan institusi dan para penganalisis politik yang berwibawa.

Katanya, pilihan raya adalah hari kebesaran suara rakyat.

Ujar beliau, ketika inilah rakyat berpeluang menyambung hak serta kebebasan mereka menyatakan pandangan serta menentukan masa depan mereka.

“Demokrasi adalah mekanisme penting dalam menjamin keseimbangan dan kestabilan sosiopolitik sesebuah negara dapat dipenuhi.

“Keharmonian dan kestabilan politik hanya akan tercapai sekiranya aspirasi serta suara setiap segmen masyarakat yang ada dalam sesebuah negara.

“Masyarakat Melayu merupakan teras utama politik di tanah air ini maka, kerangka pemikiran politik Melayu seharusnya merujuk kepada Islam yang merupakan esensi utama jati diri Melayu itu sendiri,” ujar beliau.

Jelas beliau, Islam menolak sebarang bentuk diskriminasi rasis yang emosi serta sempit.

Sementara itu katanya, PRU13 telah menyaksikan peratus turun mengundi paling tinggi dalam sejarah demokrasi Malaysia.

Dalam pada itu, Abim turut mengambil kesempatan ini merakam ucapan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia di atas keprihatinan terhadap amalan demokrasi di negara ini.

“Sesungguhnya PRU13 merupakan kemuncak kepada manifestasi kesedaran politik yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia.

"Seharusnya suara rakyat ini dihormati serta dimartabatkan menerusi lunas-lunas keterbukaan yang dianjurkan dalam demokrasi,” katanya lagi.

Tiada ulasan: