Rabu, 15 Mei 2013

Mufti Perak dakwa bukan Melayu taksub perkauman, gunakan Anwar untuk jajah Melayu

TERKINI 
THE MALAYSIAN INSIDER
 


KUALA LUMPUR— Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria telah menuduh bukan Melayu sebagai taksub perkauman dan menggunakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjajah Melayu.

Mengikut naratif dimulakan golongan kanan Umno, beliau memberitahu Utusan Malaysia bukan Melayu marah kerana rancangan mereka untuk menjajah “kita” tidak berjaya.

Harussani (gambar) tidak menamakan kaum mana yang beliau maksudkan akan tetapi mengulangi menggunakan perkataan “mereka” sebagai rujukan kepada dakwaannya untuk menjajah Melayu.

“Ini sebenarnya bukan politik sahaja tapi taksub perkauman. Bila kehendak sendiri tak tercapai yang jadi mangsa rakyat. Mereka ikut sertai dia membantah supaya dapat jajah kita, hapuskan Perlembagaan tapi rancangan mereka tak jadi begitu, ini yang mereka marah.

“Mereka undi Melayu langsung tidak, kita pula tolong mereka kalahkan Melayu. Tetapi tetap kalah dan bila begitu, kata tak betul,” katanya dipetik dari akhbar berbahasa Melayu Utusan Malaysia.

Kumpulan berhaluan kanan dalam Umno, termasuk Utusan Malaysia telah berusaha untuk mewujudkan  pertarungan antara masyarakat Cina dan Melayu susulan keputusan pada Pilihan Raya 2013 baru-baru ini.

Pihak polis ketika ini sedang menyiasat Utusan Malaysia kerana menghasut selepas akhbar tersebut menghasilkan artikel “Apa lagi Cina Mahu?” serta menuduh pengundi Cina cuba melakukan provokasi kaum dengan mengundi menentang BN.

Utusan Malaysia juga mengeluarkan beberapa artikel lain seperti “Golongan Muda Cina Monopoli
Persahabatan haram” dan “DAP Terus Cetus provokasi”, serta mengeluarkan gambar pemuda Cina membantah di perhimpunan baru-baru ini di Pulau Pinang dan Petaling Jaya bagi menuntut pilihan raya bebas dan adil.

Naib presiden Perkasa kontroversi Datuk Zulkifli Noordin, juga merupakan calon langsung Barisan Nasional (BN) yang tewas di Shah Alam dalam Pilihan Raya 2013, membuat tuduhan Lim Kit Siang bertanggungjawab dalam insiden berdarah tersebut dalam mesej yang dihantar di Twitter pada malam ulangtahun ke 44 rusuhan tersebut semalam.

Lim seringkali menjadi sasaran kumpulan Melayu berhaluan kanan yang menyalahkannya di atas rusuhan tersebut walaupun Penasihat DAP itu tidak berada di Kuala Lumput apabila rusuhan itu tercetus.

Namun, bekas ahli Umno Tamrin Ghafar tampil membersihkan nama Lim semasa kempen Pilihan Raya 2013 baru ini dengan mendakwa Umno adalah dalang disebalik rusuhan itu.

Anak bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Ghafar Baba berkata beliau dimaklumkan oleh bekas Menteri Dalam Negeri, Allahyarham Tun Ghazali Shafie, bahawa 13 Mei adalah hasil daripada rampasan kuasa dalaman Umno terhadap pengasas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman.

Pemimpin Umno tidak henti-henti menyalahkan prestasi buruk mereka pada pilihan raya kali ini adalah berpunca daripada “tsunami Cina”, malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga memberikan cadangan sama.

BN menang tipis pada 5 Mei dengan hanya 133 kerusi Parlimen berbanding 89 kerusi oleh Pakatan Rakyat (PR), lebih rendah daripada 140 kerusi yang mereka menangi dalam Pilihan Raya 2008.

Malah, bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah juga menyertai perdebatan kaum apabila beliau memberi amaran kepada komuniti Cina agar bersedia dengan tindak balas daripada Melayu kerana “khianat” terhadap BN dalam Pilihan Raya 2013.

Tiada ulasan: