Sabtu, 25 Mei 2013

DAP Pulau Pinang tidak fail petisyen keputusan PRU13

MOHD ISKANDAR OTHMAN

Kon Yeow
Kon Yeow (dudu,tiga kanan) bergambar bersama pengurusan syarikat SK iWealth semalam.
 
GEORGETOWN - DAP Pulau Pinang tidak berhasrat untuk menfailkan petisyen berhubung keputusan PRU13 baru-baru ini.

Pengerusinya, Chow Kon Yeow berkata, sehingga kini ia tidak menerima sebarang laporan atau  bukti mengenai kepincangan yang berlaku sepanjang proses pilihan raya untuk membolehkannya membuat petisyen

Selain itu, faktor kemenangan besar DAP di Pulau Pinang pada PRU13 juga memberi kepuasan kepada parti itu untuk terus kekal menerajui kerajaan negeri bagi penggal kedua sejak 2008.

"Semua kerusi yang DAP tandingi memperolehi kemenangan besar dan saya belum terima sebarang laporan yang membolehkan kita kemukakan petisyen.

"Bagaimanapun, DAP menyokong tindakan PKR untuk menfailkan petisyen mengenai kemenangan tipis BN yang meragukan bagi kerusi parlimen Balik Pulau dan tiga kerusi Dun," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan pembukaan sebuah syarikat pengurusan kredit, SK iWealth Sdn Bhd, di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik dan Adun Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu.

Sementara itu, mengulas cadangan pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn agar BN bergabung menjadi satu parti bagi mengembalikan sokongan rakyat dan mengelakan masalah perkauman, Kon Yeow berkata, ia adalah satu perkembangan positif yang perlu dilakukan.

Namun beliau berkata,cadangan itu tidak bermakna jika BN hanya menukar nama kepada parti 1Malaysia sebaliknya perlu menukar dasar secara keseluruhan jika benar mahu menjadi sebuah parti tunggal.

Menurutnya, sudah tiba masanya arena politik negara tidak lagi bergantung kepada sokongan berteraskan kaum seperti yang diamalkan selama ini.

Tiada ulasan: