Sabtu, 25 Mei 2013

BN satu parti, baik tetapi...

MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN

Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak
Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak 
 
SHAH ALAM – Cadangan supaya kesemua parti komponen BN digabungkan dan BN dijadikan hanya satu parti boleh mengelak polarisasi kaum dalam politik negara ini.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, keputusan PRU13 menunjukkan elemen polarisasi sudah mula meresap dalam politik dan ini tidak sihat bagi negara.

"Jika kaum tertentu cenderung sokong hanya satu pihak, ini tidak sihat apabila pihak satu lagi pula hanya diwakili kaum lain. Misalnya pada PRU13, orang Cina menolak MCA dan Gerakan hingga parti itu seakan sudah mahu pupus, ini tidak elok untuk politik apabila sudah ada elemen polarisasi," katanya.

Sehubungan itu kata beliau, cadangan BN sebagai satu parti, bukan gabungan parti-parti komponen sebagaimana sekarang satu pendekatan yang baik untuk mencegah polarisasi berasaskan parti politik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan semalam menyifatkan cadangan menjadikan BN parti tunggal sebagai rasional dan perlu dikaji secara mendalam.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam kenyataan selepas PRU13 menyifatkan keputusan pilihan raya itu sebagai tidak sihat apabila majoriti pengundi Cina terpedaya taktik pembangkang, memilih jauhi BN.

Ini sekali gus mewujudkan keadaan seolah-olah negara ini ditadbir secara sistem dua parti apabila orang Cina di pihak pembangkang dan majoriti orang Melayu pula di pihak kerajaan.

Mustafa bagaimanapun berkata, apa dicadangkan Ko Youn ini bukan perkara baru.

"Pada 1950-an, cadangan ini pernah disuarakan Datuk Onn Jaafar, pengasas Umno sendiri untuk buka keahlian kepada semua kaum.

Tetapi oleh kerana cadangan itu dianggap terlalu ke hadapan pada masa itu, ia ditolak orang Umno sendiri hingga Datuk Onn berundur daripada Umno dan mengasaskan IMP dan kemudian Parti Negara.

"Tahun ini, kita dengar semula cadangan itu, mungkin kerana prestasi BN semakin hambar dalam pilihan raya. Soalnya, apakah parti komponen BN sudah sedia (untuk terima cadangan itu)?" katanya.

Menurut Mustafa, apa yang paling penting dalam BN ialah persetujuan parti komponen terutama daripada tiga parti yang memegang kunci iaitu Umno, MCA dan MIC.

Ditanya mengenai mekanisme, beliau berkata, jawatan presiden dan timbalan presiden seelok-eloknya daripada kaum majoriti.

Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya MPN, Prof Datuk Dr Zainal Kling pula berkata, cadangan seperti itu sukar untuk diterima orang Melayu sebagai kaum majoriti yang bimbang kedudukan mereka terjejas.

"Orang Melayu sejak dulu kuasai politik terutama melalui Umno. Saya yakin majoriti orang Melayu tak akan setuju dengan cadangan ini.

Bukan soal nostalgia yang akan dipersoalkan tetapi kelangsungan hidup orang Melayu di negara ini," katanya.

Tiada ulasan: