Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim enggan memberitahu sama ada ADUN Bukit Antarabangsa Azmin Ali akan dilantik menjadi exco kerajaan negeri bagi mengelakkan timbulnya spekulasi.

NONEMalah kata Khalid ( bertengkolok), proses pemilihan barisan exco telah pun bermula dan akan diumumkan kepada orang ramai setelah mendapat perkenan daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Saya tak boleh beritahu. (Perkara) itu (boleh) menjadi spekulasi.

"Saya berjanji dengan semua orang bahawa saya akan berbincang dan tidak akan memberitahu kepada (orang) awam sehingga selesai.

"Itu pun menjadi aku janji saya. Saya tidak boleh menjawab. Saya tidak boleh buat kenyataan sehingga (perkara ini) selesai," kata Khalid.

NONEBeliau menjawab soalan pemberita sama ada terdapat muka baru termasuk Azmin yang akan membarisi exco kerajaan negeri yang baru.

Ditanya lanjut sama ada kerajaan negeri akan membentuk jawatan timbalan menteri besar, Khalid berkata: "Itu tidak ada dalam perkiraan kita".

Sambut 'national reconciliation' PM

Khalid yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak berkata beliau memerlukan tempoh selewat-lewatnya dua minggu untuk menyiapkan pemilihan barisan exconya.

Dalam sidang media itu juga, Khalid berkata tumpuannya dalam masa terdekat sebagai menteri besar adalah untuk "menyambut" hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib (bawah) bagi memulakan proses "national reconciliation".

NONE"Di mana ujian pertama adalah untuk menyelesaikan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor.

"Saya telah menyediakan surat kepada perdana menteri tentang perkara ini dan amat berharap beliau akan memberi tindak balas positif sejajar dengan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA)," katanya.

Menurut Khalid, kerajaan negeri memberi komitmen bahawa projek Langat 2 akan dirangkumkan bersama proses penstrukturan semula industri air supaya ia tidak dikendali secara berasingan.

Surat tersebut akan dihantar kepada Najib, esok, tambah Khalid.

Kemudian Khalid menambah bahawa beliau juga telah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengamalkan proses seperti itu terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Selangor termasuk PKNS.